Eksport getah Januari 2023 turun 16.3 peratus

Eksport getah Januari 2023 turun 16.3 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli Malaysia pada Januari 2023, turun sebanyak 3.6 peratus kepada 29,451 tan metrik daripada 30,556 tan metrik bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Perbanding tahun ketahun menunjukkan, pengeluaran getah asli turun 39.3 peratus daripada 48,546 tan metrik pada Januari 2022.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli pada bulan dilaporkan disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 84.2 peratus, berbanding sektor estet 15.8 peratus.

Kata beliau, jumlah stok getah asli pada Januari 2023 menurun 3.4 peratus kepada 194,553 tan metrik daripada 201,360 tan metrik pada Disember 2022 dengan kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (9.2 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

“Eksport getah asli Malaysia berjumlah 40,867 tan metrik pada Januari 2023 menurun 16.3 peratus daripada Disember 2022 (48,797 tan metrik).

“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 41.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Januari 2023, diikuti Turkiye (5.4 peratus), Jerman (5.1 peratus), Amerika Syarikat (3.6 peratus) dan Brazil (2.7 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

Katanya, produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.9 billion pada Januari 2023, menurun 14.0 peratus berbanding Disember 2022 berjumlah RM1.09 billion.

Beliau menambah, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 6.8 peratus (Januari 2023: 502.05 sen sekilogram; Disember 2022: 470.21 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat 0.6 peratus (Januari 2023: 463.84 sen sekilogram; Disember 2022: 461.20 sen sekilogram).

“Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 1.7 peratus hingga 6.7 peratus. World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing meningkat 4.9 peratus (daripada AS$1.35/kg kepada AS$1.41/kg) dan meningkat 6.2 peratus (daripada AS$1.54/kg kepada AS$1.63/kg).

“Berdasarkan laporan Malaysia Rubber Board Digest Januari 2023, aliran pasaran meningkat disokong oleh prestasi pasaran di China dan Amerika Syarikat yang lebih baik daripada jangkaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN