Ekonomi diunjur tumbuh perlahan 3.5 peratus suku kedua 2023

Ekonomi diunjur tumbuh perlahan 3.5 peratus suku kedua 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenanga Investment Bank Bhd. mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang perlahan kepada 3.5 peratus pada suku kedua tahun ini, berbanding anggaran 5.1 peratus suku pertama.

Bank penyelidikan itu berkata, ia berikutan kesan asas yang berkurangan dan apabila ekonomi kembali normal dengan ketiadaan langkah rangsangan.

Katanya, ia turut mempertimbangkan kesan kelembapan ekonomi global apabila dasar monetari global semakin men­getat untuk memerangi tekanan inflasi yang meningkat.

“Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 sebanyak 4.7 peratus, berbanding unjuran pertumbuhan kerajaan sebanyak 4.5 peratus dan konsensus empat peratus.

“Namun begitu, kami percaya risiko penurunan kepada pertumbuhan dari segi domestik akan terhad disebabkan oleh premium risiko politik yang le­bih rendah dan jangkaan pe­ningkatan dalam pelaburan.

“Ini juga disebabkan oleh hala tuju dasar yang jelas oleh kerajaan perpaduan bersama dengan Belanjawan 2023 yang disemak semula, yang menyaksikan kerajaan terus cenderung ke arah dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan,” katanya dalam laporan ekonomi di sini, semalam.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank berkata, pertumbuhan ekonomi juga akan disokong oleh permintaan domestik yang teguh, di tengah-tengah perbelanjaan swasta yang mampan berikutan kadar pengangguran yang lebih rendah dijangka purata pada 3.5 peratus daripada 3.8 peratus pada 2022,

Menurutnya, turut mendo­rong pertumbuhan adalah da­sar-dasar yang menyokong termasuk penerusan subsidi dan program pemindahan tunai untuk kumpulan B40.

Dalam pada itu, bank penyelidikan itu berkata, indeks harga pengguna (IHP) negara dijangka menurun secara beransur-ansur kepada tiga peratus hingga 3.5 peratus secara purata pada suku kedua 2023 berikutan usaha kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup, ringgit yang le­bih kukuh dan kejatuhan harga komoditi.

“Selain itu, jangkaan kerajaan akan terus memberikan subsidi bahan api sepanjang tahun mungkin terus membantu mengurangkan inflasi.

“Bagaimanapun, potensi pe­mansuhan harga siling telur dan ayam pada Jun mungkin mening­katkan sedikit tekanan harga,” ujarnya.

Kenanga Invest­ment Bank menjangkakan kese­luruhan inflasi akan terus menurun pada suku kedua tahun ini dan berkemungkinan purata sekitar 2.5 peratus pada 2023, walaupun terdapat risiko yang mendorong kepada inflasi tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN