KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal tidak akan tertakluk kepada penjualan saham tidak tersenarai melalui tawaran awam permulaan (IPO) yang diluluskan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya memahami kerisauan sesetengah pihak berkenaan dengan pengumuman kerajaan untuk mengkaji Cukai Keuntungan Modal ke atas saham tidak tersenarai pada kadar yang rendah.
Katanya, pihaknya terbuka untuk memenuhi keperluan syarikat dan pelabur dengan lebih baik.
“Saya ingin memberikan komitmen kerajaan bahawa cukai hanya akan dimuktamadkan selepas penglibatan yang meluas dengan pihak berkepentingan.
“Kedua, cukai tidak akan diperkenalkan ke atas saham tersenarai dan pelupusan saham tidak tersenarai untuk IPO yang diluluskan juga tidak akan tertakluk kepada Cukai Keuntungan Modal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama program Invest Malaysia di Hotel St Regis di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi syarikat tidak tersenarai yang berhasrat untuk menjalankan penyenaraian, pemegang saham sedia ada yang berhasrat untuk menjual kepentingan mereka melalui tawaran untuk jualan dalam IPO juga tidak tertakluk kepada cukai tersebut.
Anwar dalam Belanjawan 2023 bulan lalu mengumumkan cadangan pengenalan Cukai Keuntungan Modal ke atas penjualan saham dalam syarikat swasta pada tahun depan. – UTUSAN










