Credit Suisse pinjam lebih AS$50 bilion

Credit Suisse pinjam lebih AS$50 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Krisis bank di Amerika Syarikat (AS) mula merebak ke Eropah membabitkan Credit Suisse apabila sahamnya merosot 30 peratus, sehingga terpaksa mendapatkan pinjaman berjumlah hampir AS$54 bilion dari­pada bank pusat Switzerland, Swiss National Bank (SNB).

Bank berkenaan menyifatkan pinjaman itu sebagai “tindakan tegas untuk mengukuhkan kembali kecairannya.”

“Kecairan tambahan ini akan menyokong perniagaan teras dan pelanggan Credit Suisse apabila Credit Suisse mengambil langkah yang perlu untuk mewujudkan bank yang lebih mudah dan lebih fokus yang dibina mengikut keperluan pe­langgan,” kata bank itu dalam kenyataan, lapor CNN.

Sebagai tambahan kepada pinjaman itu, Credit Suisse berkata, ia juga membeli semula berbilion dolar hutang sendiri untuk menguruskan liabiliti dan perbelanjaan pembayaran faedah.

Tawaran itu meliputi bon AS berjumlah AS$2.5 bilion dan bon Eropah €500 juta (AS$529 juta).

Credit Suisse (CS) merupakan bank kedua terbesar Switzerland, diasaskan pada 1856.

Ia adalah satu daripada institusi kewangan terbesar di dunia dan dikategorikan sebagai ‘bank penting dari segi sistem global’ bersama-sama 30 bank lain, termasuk JP Morgan Chase, Bank of America dan Bank of China.

Menurut makluman, CS memiliki aset berjumlah 531.4 bi­lion Swiss Franc (CHF) (AS$573 bilion). Pemegang saham terbesarnya termasuk Saudi National Bank (9.88 peratus), Qatar Investment Authority dan BlackRock (syarikat pelaburan multinasional AS) (5 peratus), Dodge & Cox (syarikat dana bersama AS), Norges Bank (Bank Pusat Norway) dan Olayan Group (syarikat multinasional Saudi).

Dalam tempoh tiga bulan sehingga Disember lalu, para pe­langgan CS telah mengeluarkan simpanan mereka berjumlah 111 bilion franc (AS$122 bilion) selepas bank tersebut merekodkan kerugian berjumlah CHF7.3 bilion dengan pendapatannya turut susut kepada CHF14.92 bilion.

Terdahulu, SNB berkata, ia bersedia untuk memberikan sokongan kewangan kepada CS.

SNB dalam kenyataan bersama pengawal selia pasaran kewangan Switzerland FINMA berkata, CS memenuhi “keperluan modal dan kecairan ketat” yang dikenakan ke atas bank yang mempunyai kepentingan kepada sistem kewangan lebih luas.

“Jika perlu, SNB akan menyediakan CS dengan mudah tunai,” katanya.

Pihak berkuasa kewangan Switzerland itu bagaimanapun berkata, masalah “bank tertentu di AS tidak menimbulkan risiko penularan langsung bagi pasaran kewangan Switzerland.”

“Tiada tanda-tanda risiko langsung penularan bagi institusi Switzerland disebabkan kegawatan semasa dalam pasaran perbankan AS,” jelasnya.

Mengambil kira jumlah aset CS, Ketua Ekonomi bagi Eropah di Capital Economics, Andrew Kenningham berkata: “Credit Suisse bukan hanya masalah Switzerland tetapi masalah global.”

Ia dibuktikan dengan kejatuhan mendadak saham-saham Asia pada sesi dagangan awal pagi semalam, dengan pelabur berpndah membeli emas, bon dan dolar. Bagaimanapun, tindakan CS mendorong saham-saham di pasaran tertentu me­lantun semula.

Turut terjejas pasaran hadapan minyak mentah apabila Brent dan WTI meneruskan kejatuhan ke paras terendah dengan WTI didagangkan di bawah AS$70 setong pada AS$68.04 dan Brent pula susut kepada AS$74.24.

Perkembangan itu turut menjejaskan saham-saham syarikat minyak dan gas Eropah dan AS yang susut antara 5 hingga 8 peratus. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN