PETALING JAYA: Bursa Malaysia kekal negatif pada penutupan Jumaat berikutan tekanan jualan berterusan di tengah-tengah sentimen lemah di bursa serantau.
Pasaran juga sedang menunggu data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan lewat hari ini yang boleh menentukan arah kadar faedah AS.
Pada pukul 5 petang, penanda aras FBM KLCI susut sebanyak 16.45 mata kepada 1,433.08, daripada penutupan Khamis pada 1,449.53. Ia paras terendah dalam tempoh hampir enam bulan.
Indeks utama dibuka 3.73 mata lebih rendah kepada 1,445.80.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn. Bhd., Thong Pak Leng berkata, Wall Street ditutup rendah secara mendadak apabila sentimen bertukar negatif berikutan kebimbangan mengenai kadar faedah yang tinggi dan pendirian agresif Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka kekal untuk tempoh yang lebih lama.
“Namun, kami mengesyaki sentimen keseluruhan masih ditentukan oleh mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 21-22 Mac,” katanya.
Meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 2.75 peratus kelmarin yang merupakan berita baik untuk pasaran ekuiti, namun Bursa Malaysia terus susut di bawah paras 1,450 mata minggu ini.
Beliau berkata, dagangan di bursa tempatan akan kekal lemah dan menjangkakan indeks akan berada dalam aliran dalam julat 1,450-1,460, dengan beberapa pengumpulan saham berkaitan pembinaan dan syarikat telekomunikasi pada Jumaat.
Sementara itu, ringgit pula mengukuh kepada 4.5180/4.5220 berbanding dolar AS pada penutupan Jumaat, daripada 4.5200/4.5240 pada Khamis.
Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pemain pasaran sedang berjaga-jaga dengan NFP, yang dijangka turun kepada 205,000 pada Februari, selepas melonjak kepada 517,000 pada Januari.
Katanya, NFP boleh menjadi pemangkin kepada perdagangan dalam pasaran pertukaran asing, berdasarkan perubahan dalam pekerjaan.
“Indeks dolar AS kekal tinggi pada lebih 105 mata tetapi lebih rendah sebanyak 0.39 peratus apabila indeks ditutup. Justeru, ringgit dijangka kekal dalam lingkungan RM4.50-RM4.51 berbanding dolar AS hari ini,” ujarnya. – UTUSAN










