PETALING JAYA: Krisis bank di Amerika Syarikat (AS) terus memberi kesan kepada pasaran tempatan apabila Bursa Malaysia jatuh di bawah 1,400 pada 1,393.83, paras terendah hampir lima bulan sejak 13 Oktober 2022.
Dalam sesi dagangan semalam, FBM KLCI jatuh 28 mata atau hampir dua peratus dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 878 berbanding 180, manakala 296 kaunter tidak berubah, 893 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Sejumlah 3.38 bilion saham didagangkan bernilai RM2.50 bilion.
Kejatuhan Bursa itu didorong oleh prestasi saham-saham perbankan yang mencatatkan kerugian pada paras terendah dalam empat bulan ditambah dengan penutupan Signature Bank di AS, melanjutkan sentimen negatif yang dicetuskan oleh kejatuhan Silicon Valley Bank (SVB), minggu lepas.
Antara saham bank yang mengalami kerugian teruk adalah Hong Leong Bank Bhd yang turun 27 sen kepada RM19.96, CIMB Group Holdings Bhd. (turun 16 sen kepada RM5.17), RHB Bank Bhd. (turun 14 sen kepada RM5.58) dan AMMB Holdings Bhd. (turun 14 sen kepada RM3.73) pada penutupan pukul 5 petang.
Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaysia (UM) Dr. Mohd Zaidi Md Zabri berkata, bank tempatan tidak dapat mengelak daripada turun naik dagangan akibat sentimen daripada apa yang berlaku di AS.
Katanya, ini kerana AS adalah antara negara dagang yang terbesar negara termasuk China.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan impak tersebut tidak akan berpanjangan kerana asas dan undang-undang kewangan negara adalah kukuh pada masa ini.
“Kejatuhan SVB dijangka tidak akan memberi kesan jangka panjang kepada pasaran saham tempatan terutamanya institusi kewangan.
“Perkara tersebut juga tidak akan membawa kepada krisis kewangan global seperti yang berlaku pada 2008 apabila kejatuhan Bear Stearns yang membawa,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, sentimen pasaran mungkin akan berlarutan sehingga hujung minggu ini sehingga ada perkembangan terbaharu daripada kerajaan AS.
“Saham dalam SVB bukan sahaja di AS, tetapi ada juga dari Hong Kong dan Jepun. Jadi saya tidak pasti sama ada institusi tempatan yang melabur dalam bank tersebut.
“Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memantau dengan rapi perkembangan terbaharu ini supaya perkara yang sama tidak berlaku di Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, krisis kewangan di AS yang turut menjejaskan pasaran saham dan mata wang dolar, mengukuhkan nilai ringgit yang ditutup lebih tinggi untuk hari kedua berturut-turut berbanding ‘greenback’ pada 4.4900/4.4803 berbanding 4.5155/4.4860 kelmarin. – UTUSAN










