Brent kekal di bawah AS$80 setong

Brent kekal di bawah AS$80 setong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO/SINGAPURA: Minyak men­tah terus didagangkan rendah, susulan kebankrapan Silicon Valley Bank (SVB), dengan Brent dan WTI kekal di bawah paras AS$80 setong, terendah sejak Januari.

Menurut laporan oilprice.com, WTI pernah jatuh di bawah paras AS$71 setong. Penanda aras tersebut telah mengalami kejatuhan lebih AS$5 dolar setong sejak Jumaat lalu apabila krisis bank di Amerika Syarikat (AS) itu tercetus.

Bagaimanapun, Reuters melaporkan, harga minyak melantun semula lebih 1 peratus semalam, pulih sedikit daripada kejatuhan hari sebelumnya, didorong oleh kenyataan OPEC mengenai permintaan kukuh dari China, membantu mengimbangi sentimen pelabur global yang lemah.

Dalam sesi dagangan semalam, Brent naik 93 sen atau 1.2 peratus kepada AS$78.38 setong. Niaga hadapan WTI pula menokok 96 sen atau 1.4 peratus kepada AS$72.29 setong.

Pada Selasa, penanda aras jatuh lebih daripada 4 peratus kepada paras terendah dalam tempoh tiga bulan.

“Pasaran minyak telah pulih dengan sendirinya selepas kerugian mendadak baru-baru ini,” kata Toshitaka Tazawa, penganalisis di Fujitomi Securities Co Ltd, sambil menambah pelabur telah mengambil kesempatan daripada kejatuhan itu untuk memburu tawaran murah.

Kata beliau, peningkatan OPEC dalam prospek permintaan minyak China juga memberi sokongan, walaupun pelabur masih bimbang dengan krisis kewangan yang melanda selepas kejatuhan bank-bank AS minggu lalu.

“Sama ada WTI boleh kekal melebihi AS$70 setong sedang diperhatikan dengan teliti,” katanya.

Kelmarin, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) meningkatkan lagi ramalannya untuk pertumbuhan permintaan minyak China tahun ini berikutan kelonggaran sekatan Covid-19 negara itu.

Ramalan itu membangu menstabilkan seketika harga minyak mentah global.

Menurut laporan, kilang penapisan China memproses 3.3 peratus lebih tinggi minyak mentah dalam dua bulan pertama 2023 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Memetik data kerajaan, pe­ningkatan itu didorong oleh dasar eksport bahan api dan penapisan bebas memproses lebih banyak sebagai tindak balas kepada peningkatan margin untuk bahan api pengangkutan selepas Beijing menarik balik sekatan Covid-19.

“Pemulihan permintaan China adalah menaik untuk harga minyak,” kata Stefano Grasso, pengurus portfolio kanan di 8VantEdge di Singapura.

Kegagalan SVB dan Signature Bank mencetuskan kebimba­ngan mengenai risiko kepada bank lain akibat kenaikan kadar faedah yang mendadak Rizab Persekutuan AS sepanjang tahun lepas. Ia juga mendorong spekulasi sama ada bank pusat itu boleh memperlahankan kadar pengetatan monetarinya.

Sementara itu, inventori mi­nyak mentah AS meningkat kira-kira 1.2 juta tong pada minggu berakhir 10 Mac lalu, sejajar dengan tinjauan Reuters, manakala stok bahan api jatuh, menurut sumber pasaran yang memetik angka Institut Petroleum Amerika.

Dari segi bekalan, Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman memberi­tahu Energy Intelligence dalam temu bual bahawa OPEC dan sekutunya, termasuk Rusia – akan berpegang pada pemotongan pengeluaran yang dipersetujui pada Oktober hingga akhir tahun ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN