BDB beli saham baharu RM13 juta

BDB beli saham baharu RM13 juta

CHE Had Dhali (dua dari kiri) dan Ooi Chin Tong bertukar dokumen disaksikan Raja Shahreen Raja Othman dan Ng Ooi Chin pada majlis menandatangani perjanjian jualan saham di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: BDB Infra Sdn. Bhd. (BDB Infra), anak syarikat Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) memperkukuh segmen perniagaannya termasuk divisyen perlombongan kuari dengan menandatangani perjanjian jual beli saham bersama Gemi Puncak Sdn. Bhd. dan Gemi Puncak Quarry Sdn. Bhd.

Perjanjian tersebut melibatkan pembelian saham syarikat-syarikat tersebut pada harga belian RM13 juta.

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, perancangan pengambilalihan berkenaan sebahagian daripada strategi pertumbuhan perniagaan Kumpulan BDB terutamanya melibatkan divisyen Kejuruteraan, Pembinaan dan Kuari (ECQ).

“Perancangan pengambilalihan ini juga akan meningkatkan lagi portfolio Kumpulan BDB untuk memberi sumbangan positif kepada aset bersih dan aset bersih per saham syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lepas.

“Di samping itu, ia juga dijangka memberi impak kepada pendapatan per saham syarikat untuk tempoh kewangan yang sama,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, majlis menandatangani perjanjian jualan saham berkenaan berlangsung di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar.

Hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi BDB, Sr. Che Had Dhali dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah BDB serta pengurusan kanan Kumpulan. Turut hadir, Ooi Chin Tong; Chua Ah Bah dan Ng Ooi Chin bagi pihak Gemi Puncak dan Gemi Puncak Quarry.

Tambah Raja Shahreen, Gemi Puncak Quarry yang terletak di Ulu Melaka, Langkawi merupakan kuari granit terbesar di pulau itu berkeluasan 24.3 hektar.

“Kuari berkenaan memiliki jumlah pengeluaran tahunan sebanyak 240,000 tan metrik, sekali gus akan menambah portfolio kuari Kumpulan BDB selepas Kuari Bukit Perak di Pendang.

“Menjadi harapan Kumpulan BDB untuk menjadi pembekal produk kuari utama di Langkawi, sekali gus dapat memastikan penawaran barangan kuari yang berkualiti dan mencukupi untuk pembangunan di Langkawi pada masa hadapan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya