PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menjalin kerjasama strategik untuk mempromosikan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di Malaysia.
Kerjasama itu menyokong inisiatif Belanjawan 2023 dan menunjukkan komitmen kedua-dua organisasi ke arah menggalakkan amalan mampan di negara ini.
Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada program pembiayaan untuk Tenaga Boleh Diperbaharui (RE), khususnya Sistem Fotovoltaik Solar, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri dan Pengecas Kenderaan Elektrik untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan penyelesaian tenaga mampan di negara ini.
Program itu akan menyediakan pilihan pembiayaan untuk perniagaan dan individu yang ingin mengguna pakai RE, membantu mengurangkan jejak karbon negara dan menyokong peralihan kepada masa depan yang lebih mampan.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif (PCEO) Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat adalah bank pertama yang menawarkan pembiayaan hijau eko melalui pelbagai penyelesaian inovatif seperti pembiayaan peribadi, gadai janji, kad kredit dan pembiayaan kereta yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan.
“Matlamat kami adalah untuk menyediakan pelanggan kami dengan perkhidmatan kewangan yang terbaikl dan menyokong perjalanan mereka ke arah kehidupan yang lebih baik.
“Perkongsian ini hanyalah salah satu daripada banyak cara kami menunjukkan komitmen kami ke arah #BetterLivesTogether dan masa depan yang mampan untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib pula berkata, Malakoff berkembang maju untuk menjadi rakan kongsi pilihan dalam menyediakan penyelesaian tenaga hijau dan inovatif di negara ini.
“Kami komited ke arah memperjuangkan peralihan negara ke arah sumber tenaga yang lebih hijau sementara Kumpulan terus mengembangkan portfolio TBB sambil menyediakan penyelesaian tenaga mampan, selaras dengan sasaran mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.
“Melalui pakatan strategik dengan Bank Muamalat ini, kami yakin ia bukan sahaja menjadikan penggunaan tenaga yang lebih bersih lebih mudah diakses dan berpatutan untuk perniagaan dan individu, tetapi juga berfungsi sebagai pemangkin dalam menyemai kesedaran alam sekitar dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan kehidupan mampan,” katanya.
Kerjasama antara Bank Muamalat dan syarikat pengeluar tenaga bebas dan pengurusan alam sekitar terbesar di negara ini merupakan langkah penting ke arah memacu cita-cita kemampanan negara sambil menyediakan penyelesaian pembiayaan yang inovatif untuk memajukan peralihan kepada tenaga hijau. – UTUSAN










