PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 4.3 peratus tahun ini, disokong oleh permintaan dalam negeri di tengah-tengah jangkaan kelembapan dalam permintaan luar.
Bagaimanapun, Bank Dunia berkata, pertumbuhan penggunaan swasta dijangka kekal teguh, walaupun pada kadar yang lebih perlahan pada 6.3 peratus pada 2023 berbanding 11.3 peratus pada 2022.
Jelasnya, pertumbuhan ekonomi disokong peningkatan dalam keadaan pasaran buruh serta langkah sokongan pendapatan berterusan daripada kerajaan, dengan pelaburan diunjurkan meningkat sebanyak 4.4 peratus pada 2023 berbanding 6.8 peratus pada 2022, mencerminkan aliran berterusan pelaburan modal dalam sektor swasta dan awam.
“Sementara itu, inflasi diunjurkan menyederhana kepada antara 2.5 peratus dan 3.0 peratus pada 2023 berbanding 3.3 peratus tahun lalu, berikutan kekangan bekalan global berkurangan dan harga komoditi stabil,” katanya dalam Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) Bank Dunia bagi April 2023.
Menurut laporan itu, sebagai ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia akan terus menghadapi risiko besar yang berpunca daripada persekitaran luaran termasuk keadaan kewangan global yang lebih ketat, kelembapan yang lebih mendalam dalam ekonomi utama dan krisis Russia-Ukraine.
Katanya, di peringkat domestik, risiko penurunan utama adalah berkaitan dengan ketidaktentuan dalam persekitaran inflasi dan paras hutang yang agak tinggi, yang boleh membebankan permintaan dalam negeri.
“Melangkah ke hadapan, isi rumah miskin dan rentan yang paling terjejas oleh Covid-19 mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk pulih, memperkukuh keperluan untuk program perlindungan sosial yang berkesan dan disasarkan.
“Oleh itu, rancangan kerajaan untuk mengemas kini pendapatan garis kemiskinan dan indeks kemiskinan pelbagai dimensi adalah tepat pada masanya dan penting untuk memastikan langkah itu sepadan dengan taraf hidup semasa Malaysia,” katanya.
Bank Dunia juga menekankan, cabaran yang dihadapi oleh Malaysia termasuk ruang fiskal yang semakin sempit kerana perbelanjaan tegar dalam gaji, pencen dan pembayaran faedah terus meningkat manakala hasil negara kekal dalam aliran menurun.
Selain itu, mengenai pasaran buruh, keadaan terus bertambah baik pada suku keempat 2022 dengan kadar pengangguran terus menurun kepada 3.6 peratus.
Gaji sektor swasta menjadi sederhana pada suku dikaji, meningkat sebanyak 5.6 peratus. – UTUSAN











