PETALING JAYA: Malaysia bakal menyaksikan peningkatan yang lebih besar dalam transformasi digital dan kepercayaan digital dalam masyarakat, didorong oleh pelaburan baharu daripada Amazon Web Services (AWS) bernilai RM25.5 bilion.
Pelaburan bagi tempoh 15 tahun tersebut adalah untuk infrastruktur ‘rantau’ baharu di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan teknologi antarabangsa terbesar setakat ini itu, akan membawa kepada inovasi dan pelaburan yang lebih besar kepada negara.
Katanya, pelaburan tersebut akan mendorong negara untuk benar-benar menjadi pusat data dan hab digital Asia Tenggara.
“Kehadiran akses kepada infrastruktur AWS bertaraf dunia, teknologi termaju dan program kemahiran digital termaju ke Malaysia akan membuka peluang untuk perniagaan tempatan membina dan berkembang di peringkat global.
“Ini dapat memupuk tenaga kerja yang dipacu secara digital, memacu penciptaan pekerjaan dan menyampaikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
“Pengumuman hari ini menunjukkan keyakinan dan sokongan terhadap kepimpinan Malaysia dalam ekonomi digital global dan kami berharap untuk mengeratkan lagi kerjasama dengan AWS untuk memajukan cita-cita ekonomi digital negara,” katanya dalam ucapan yang dirakamkan pada AWS Malaysia Cloud Day di sini, semalam.
Majlis dihadiri oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Naib Presiden Teknologi AWS, Mai-Lan Tomsen-Bukovec.
Anwar berkata, pelaburan itu juga akan memajukan visi Malaysia MADANI iaitu ekonomi berkemahiran tinggi, inovatif, inklusif dan mampan, yang mana kekayaan dikongsi dengan lebih saksama.
Menurut Perdana Menteri, pihaknya telah melihat sejumlah besar syarikat Malaysia daripada syarikat permula niaga kepada perusahaan mengubah perkhidmatan dan proses mereka, menghasilkan inovasi yang lebih besar, pemprosesan data yang lebih selamat dan kos operasi yang lebih rendah dengan penyedia perkhidmatan ‘Cloud’ (awan) seperti AWS.
“Petroliam Nasional Bhd. menjadi contoh bagaimana sebuah organisasi terkemuka Malaysia mempercepatkan perjalanan transformasi digital dengan memanfaatkan kuasa awan untuk memodenkan teknologi maklumatnya.
“Ia telah memacu operasi yang lebih bijak dan keputusan yang lebih pantas melalui cerapan daripada analisis data dan membina aplikasi digital baharu seperti Setel untuk meningkatkan pengalaman pelanggan,” ujarnya.
Tambahnya, bagi syarikat seperti itu, kehadiran AWS serantau di Malaysia akan mempercepatkan lagi transformasi dan penciptaan perkhidmatan digital yang inovatif, menggunakan infrastruktur yang selamat, berprestasi tinggi, berdaya tahan dan dipercayai.
“AWS juga telah menandatangani perjanjian rangka kerja awan dengan kerajaan Malaysia, memberikan penggalak kepada penggunaan awan dalam sektor awam dan membantu agensi menjimatkan kos, meningkatkan kemahiran digital dan memacu inovasi,” tambah beliau.
Malaysia salah satu pasaran pusat data paling maju di Asia Tenggara dengan nilai RM4.7 bilion (AS$1.06 bilion) pada 2021 menurut organisasi penganalisis pasaran, Arizona. Angka itu dijangka berkembang kepada RM7 bilion (AS$1.57 bilion) menjelang 2027.
Jelasnya, dari Januari hingga September 2022, subsektor maklumat dan komunikasi mencatatkan pelaburan diluluskan bernilai RM69.2 bilion (AS$14.9 bilion).
Daripada jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan dalam subsektor itu, sebanyak RM60.7 bilion (AS$13.1 bilion) adalah pelaburan untuk aktiviti pusat data. – UTUSAN










