ARIM sasar saiz dana ARSIF RM500 juta akhir tahun ini

ARIM sasar saiz dana ARSIF RM500 juta akhir tahun

TIMBALAN Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong melancarkan AmanahRaya Syariah Income Fund di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FIRDAUSJOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: AmanahRaya Investment Management Sdn. Bhd. (ARIM) menyasarkan saiz dana AmanahRaya Syariah Income Fund (ARSIF) mampu mencapai RM500 juta menje­lang akhir tahun ini.

Anak syarikat Amanah Raya Bhd. (Amanah Raya) itu telah memperkenalkan dana ketujuh itu pada Mei tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ARIM, Mohamad Shafik Badaruddin berkata, buat masa ini, saiz dana ARSIF telah me­ningkat kepada RM200 juta.

“Kami yakin mampu me­ningkatkan saiz dana tersebut kepada RM500 juta tahun ini kerana permintaan yang menggalakkan dari sektor korporat,” katanya selepas majlis pelancaran ARSIF oleh Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan peningkatan sebanyak 20 peratus jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) daripada RM6.1 bilion ketika ini.

“Sasaran itu adalah berdasarkan beberapa dana baharu serta situasi ekonomi negara serta global ketika ini.

“Kita menetapkan sasaran berdasarkan situasi semasa tetapi masih melihat juga kepada sebarang situasi lain seperti kadar faedah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata, ARSIF dilancarkan untuk melengkapkan barisan produknya dan menyediakan penyelesaian pelaburan komprehensif kepada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan.

Ujarnya, ARSIF melabur dalam bon Islam jangka pendek hingga jangka sederhana dengan tempoh matang kurang daripada lima tahun.

“Sebagai pelaburan berisiko rendah memandangkan turun naiknya yang minimum, ARSIF tampil sebagai penyelesaian pelaburan menarik dan paling sesuai untuk pelabur yang mempunyai profil risiko rendah hingga sederhana,” ujarnya.

Tambah beliau, kumpulan komited terhadap peranannya dalam perancangan kekayaan dan harta pusaka yang merangkumi bukan sahaja perkhidmatan, amanah dan pentadbiran harta pusaka, tetapi juga perancangan pelaburan dan pengurusan risiko pelaburan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN