PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) telah melancarkan aplikasi mudah alih pembiayaan perdagangannya, aplikasi mudah alih M TRADE.
Aplikasi mudah alih itu menyediakan kemudahan yang lebih banyak dan memberikan akses melalui penyelesaian sehenti yang menawarkan ciri kewangan perdagangan mudah alih seperti permintaan dalam talian segera melalui muat naik imbasan dan pengambilan dokumen, maklumat masa nyata mengenai had kemudahan dan status transaksi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, aplikasi mudah alih M TRADE membolehkan pengguna menguruskan urusniaga pembiayaan perdagangan mereka dengan lancar sekaligus memberi kemudahan kepada pelanggan pembiayaan perdagangan syarikat yang sentiasa sibuk.
“Kebiasaannya, permohonan dokumen perdagangan harus dihantar kepada bank secara fizikal.
“Tetapi menerusi aplikasi ini, mereka mempunyai pilihan untuk mengimbas dokumen dan hantarkan ia menerusi aplikasi ini di mana ia akan diproses secepat mungkin.
“Pelanggan juga mempunyai pilihan untuk meminta dokumen itu diambil dan dihantar kepada pihak bank menerusi aplikasi itu.
“Bagaimanapun, kami akui akan menjadi satu cabaran untuk meyakingkan pelanggan mengenai aplikasi ini. Itu kerana perniagaan perdagangan biasanya dilakukan secara fizikal.
“Jadi, tugas kami adalah untuk mendidik pelanggan tentang kelebihan aplikasi M TRADE yang sangat memudahkan, selamat dan bebas risiko untuk digunakan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nor Azam berkata, dengan pengenalan cap jari dan antara muka, aplikasi tersebut memberikan pemilik perniagaan ketenangan fikiran kerana maklumat perniagaan mereka dijaga dengan baik.
Ujarnya, antara muka yang menarik dan mesra pengguna bertujuan untuk membantu pengguna memahami dengan cepat ciri-ciri yang ditawarkan dan mengurus kewangan mereka dengan lebih baik.
Nor Azam berkata, kedudukan kewangan perdagangan MBSB Bank bagi tahun kewangan 2022 berjumlah RM1.8 bilion.
Pihaknya yakin dengan aplikasi mudah alih M TRADE, yang direka untuk menyediakan produk dan perkhidmatan pembiayaan perdagangan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja.
“Aplikasi ini bukan sahaja akan memberikan kemudahan yang lebih besar kepada pelanggan pembiayaan perdagangan kami, malah ia juga selaras dengan aspirasi syarikat untuk mengembangkan inovasi untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.
“Ia juga akan bertindak sebagai salah satu pemboleh utama untuk kedua-dua pelanggan dan bank untuk mengembangkan perniagaan secara pantas”, katanya.
Aplikasi M TRADE merupakan aplikasi mudah alih patuh syariah yang boleh dimuat turun ke dalam semua peranti mudah alih daripada Apple App Store atau Google Play.
Bagi pengguna kali pertama, pendaftaran diperlukan di laman web perbankan internet korporat MBSB Bank, www.mbsbjourney.com/corporate.
Pemilik perniagaan juga boleh mendapat manfaat daripada pelbagai kemudahan pembiayaan MBSB Bank seperti Pembiayaan Kontrak, Pembiayaan Pembangunan Hartanah, Pembiayaan Peralatan, Pembiayaan Borong dan Pembiayaan Korporat. – UTUSAN










