AmBank perkenal konsep baharu perbankan komuniti

AmBank perkenal konsep baharu perbankan komuniti bersama Bask Bear Coffee

SULAIMAN Mohd. Tahir (empat dari kanan); Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif, Bryan Loo (tiga dari kanan) dan Aaron Loo (lima dari kiri) di Majlis Pelancaran Rasmi Perbankan Komuniti AmBank & Bask Bear Coffee di AmBank Bandar Baru Bangi, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Kumpulan ­AmBank telah melabur kira-kira RM­300,000 hingga RM­400,000 untuk setiap ­cawangannya di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kedah dalam memper­kenalkan konsep baharu perbankan komuniti dengan kerjasama Bask Bear Coffee.

Kerjasama itu bagi membolehkan pelanggan menikmati pengalaman terbaik kafe-di-bank sambil me­lakukan urusan perbankan di kafe.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, konsep baharu itu untuk menarik orang muda mendapatkan maklumat perbankan dalam suasana yang santai.

“Orang ramai kini lebih gemar makan di luar dan orang muda pula sukakan minuman seperti kopi.

“Memandangkan Bask Be­ar Coffee merupakan pe­langgan sedia ada kami, kami mula memikir bagaimana cara untuk bekerjasama dengan pe­langgan kami untuk me­ngubah konsep Ambank. Bask Bear Coffee adalah pelanggan yang tepat untuk melakukan kerjasama ini.

“Ini antara strategi kami untuk menarik minat orang muda supaya mereka lebih tahu tentang perbankan kerana ia adalah ilmu yang penting untuk masa depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Uru­san Perbankan Runcit Am­Bank, Aaron Loo berkata, selepas bekerjasama dengan Bask Bear Coffee, cawangan di Bangi, telah berjaya menca­tatkan peningkatan jualan sebanyak dua kali ganda untuk produk dan perkhidmatannya selepas sebulan cawangan itu dibuka.

“Perintis kami bagi konsep ini telah membuahkan hasil yang positif dengan kehadiran jumlah pelanggan yang lebih tinggi serta penglibatan pelanggan yang lebih kukuh di cawangan kami.

“Dengan adanya AmOnline yang berupaya mengendalikan kebanyakan keperluan transaksi, kami perlu sentiasa memastikan pelanggan yang datang ke cawangan menikmati pengalaman yang berbeza.

“Kami akan terus memperbaharui rangkaian cawangan kami dengan bekerjasama dengan rakan kongsi bagi mencipta pengalaman yang berbeza berdasarkan keperluan komuniti yang disediakan oleh cawangan tersebut,” katanya.

(Dari kiri) Aaron Loo, Sulaiman Mohd. Tahir dan Bryan Loo memberikan sentuhan akhir seni pembuatan kopi pada ‘café latte’.

Pelancaran rasmi itu berlangsung semalam di Bandar Baru Bangi, Sungai Dua di Pulau Pinang dan Lagenda Heights di Sungai Petani, Kedah.

Pelanggan boleh memesan dalam talian dan datang untuk mendapatkan minuman dan makanan pada masa yang sama dapat melakukan urusan perbankan mereka.

Selain itu, pelanggan perbankan juga boleh melakukan transaksi perbankan mereka dalam talian dan kemudian singgah ke cawangan untuk perundingan peribadi sambil menikmati suasana di Bask Bear Coffee.

Untuk meraikan pelancaran dan usahasama ini, 10 pemenang bertuah akan dipilih untuk menikmati secawan kopi percuma sehari selama 365 hari.

Kempen akan berlangsung dari 9 Mac hingga 8 Jun 2023 dan terbuka kepada pelanggan yang berjaya melakukan transaksi perbankan yang diiktiraf di mana-mana daripada 3 lokasi perbankan kafe itu.

Ia adalah tambahan kepada promosi bersama AmBank dan Bask Bear Coffee sebanyak RM5 setiap 9oz cawan Americano/ Latte panas untuk pembelian secara langsung dengan kad kredit atau debit AmBank.

Tawaran sah dari 1 Mac 2023 hingga 31 Disember 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN