Ambank, CGC sedia pembiayaan tambahan RM400 juta 

Ambank, CGC sedia pembiayaan tambahan RM400 juta 

MAJLIS pertukaran dokumen kerjasama antara Kumpulan AmBank dan CGC di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan AmBank dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) mengembangkan kemudahan pembiayaan bernilai RM400 juta di bawah Skim Jaminan Portfolio Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Langkah itu sebahagian daripada kerjasama strategik berterusan untuk meningkatkan fokus terhadap pembangunan dan pembiayaan segmen PKS di Malaysia. 

Pembiayaan tambahan sebanyak RM400 juta itu akan dibayar di bawah saluran PKS Runcit AmBank.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan AmBank,  Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, PKS kekal sebagai tunjang utama ekonomi Malaysia yang menjana lebih daripada 97 peratus nilai urusniaga negara. 

“Sejak dilancarkan pada 2016, Skim Jaminan Portfolio Runcit PKS telah mencecah jumlah RM3 bilion, yang memberi manfaat kepada lebih 4,000 perniagaan PKS di seluruh negara. 

“Untuk jumlah keseluruhan Kumpulan, kami telah menyediakan pembiayaan bernilai kira-kira RM4.5 bilion dengan kerjasama CGC, menjangkau lebih daripada 5,000 PKS. 

“Kami menyasar untuk terus menyokong pertumbuhan perniagaan PKS serta mengukuhkan operasi mereka dalam mengharungi cabaran jangka panjang,” katanya dalam ucapan pada majlis pemeteraian kerjasama antara Kumpulan AmBank dan CGC di sini, hari ini. 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd. Ishak berkata, CGC kekal teguh dalam agenda rangkuman kewangan dan komitmennya bagi membantu PKS mendapat akses kepada pembiayaan. 

Ujarnya, sejak tujuh tahun lepas, Perkongsian PKS Runcit CGC-AmBank telah mengukuh, menyediakan 17 tranche Jaminan Portfolio bernilai RM3 bilion dan memberi manfaat kepada lebih 4,000 PMKS. 

“Kemudahan pembiayaan tambahan bernilai RM400 juta bagi tujuan modal kerja ini bertujuan untuk menyokong PMKS terutamanya mereka yang di dalam industri e-dagang, segmen yang mempunyai potensi besar untuk berkembang,” katanya. 

Sebagai institusi jaminan kredit negara, CGC kekal sebagai pemain utama dalam ekosistem pembiayaan PKS. 

Pada 2022, CGC terus menyediakan jaminan untuk menyokong pembiayaan PKS, terutamanya melalui Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF), Kemudahan Teknologi Tinggi (HTF) dan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF). 

Di bawah skim itu, PKS yang layak boleh memohon kemudahan pembiayaan sehingga RM1 juta daripada PKS AmBank dengan tempoh pembayaran semula sehingga tujuh tahun, yang mana 70 peratus daripada jumlah pembiayaan asas akan dijamin oleh CGC dan diluluskan dalam masa sehari.

Tranche baharu itu terus membiaya segmen e-Dagang dengan jumlah pinjaman daripada RM20,000 hingga RM200,000 bagi syarikat yang beroperasi lebih dari dua tahun.

Perkongsian itu terus membekalkan akses pembiayaan kepada PKS yang memerlukan pembiayaan tanpa perlu menyediakan cagaran memandangkan yuran jaminan CGC ditanggung oleh AmBank.

Dalam pada itu, pelanggan pedagang AmBank sedia ada yang memenuhi syarat tertentu adalah layak untuk memohon Pinjaman Bertempoh Tidak Bercagar Pay-As-You-Grow AmBank (PAYG), yang dipakej bersama Titik Jualan (POS) Pedagang dan Akaun Deposit.

Tawaran itu membenarkan pelanggan memohon dengan dokumen minimum yang mana saiz pinjaman ditentukan berdasarkan jumlah jualan melalui terminal pedagang dengan pembayaran semula diselaraskan dengan jumlah perniagaan pedagang melalui pemotongan berkala daripada akaun pelangsaian pedagang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN