PETALING JAYA: ZUS Coffee mengumumkan kerjasama dengan Pos Malaysia bagi membuka rangkaian kedai kopinya di cawangan syarikat kurier tempatan berkenaan dalam usaha mengembangkan perniagaannya.
Ketua Pegawai Operasi ZUS Coffee, Venon Tian berkata, kerjasama berkenaan merupakan langkah penting dalam perjalanan pertumbuhan dan pengembangan ZUS Coffee dalam membawakan kopi istimewa kepada lebih ramai pelanggan.
Menurut beliau, sebagai langkah awal Pejabat Pos Besar Ipoh, Perak telah menjadi cawangan pertama bagi kerjasama berkenaan di mana pelanggan kini boleh menikmati kopi sambil menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia.
“Dengan lebih 600 lokasi cawangan serta berjuta kaki persegi, Pos Malaysia menawarkan capaian dan sambungan yang tiada tandingan kepada rakyat Malaysia.
“Oleh itu, ZUS Coffee amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada rangkaian unik ini dalam membawa kopi istimewa kami kepada lebih ramai pelanggan lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau lagi, ZUS Coffee amat berbesar mempunyai Pos Malaysia sebagai rakan kongsinya selari dengan apa yang dikatakan sebelum ini bahawa kopi bukanlah satu kemewahan tetapi satu keperluan.
“Kedai baharu kami dengan Pos Malaysia ini akan memudahkan semua pelanggan mengaksesnya bermula dari mengambil secawan kopi di waktu pagi dalam perjalanan ke tempat kerja sehingga membayar bil atau memperbaharui lesen di cawangan Pos Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berkata, pihaknya amat gembira untuk bekerjasama dengan ZUS Coffee sekaligus dapat mempelbagaikan lagi kemudahan platform kuries yang ditawarkan kepada pelanggan.
Katanya, Pos Malaysia akan memanfaatkan berjuta kaki persegi ruang runcitnya untuk menyediakan pelanggan dengan pelbagai kemudahan tambahan.
“Kami sangat teruja dengan strategi transformasi kami ini dan berharap dapat mengumumkan lebih banyak kemaskini menarik tidak lama lagi,” katanya.
Untuk rekod, ZUS COffee mempunyai 190 cawangan seluruh negara sehingga Januari 2023. – UTUSAN










