PETALING JAYA: Belanjawan 2023 perlu memberi penekanan kepada pakej rangsangan ekonomi yang lebih komprehensif dan bersifat jangka sederhana lima tahun dengan menggalakkan serta memudahkan proses kemasukan pelabur.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, pelaburan ekonomi adalah penting dalam penciptaan peluang pekerjaan serta menjana tabungan domestik.
Katanya, ini seterusnya dapat memberi sumbangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang semakin menyusut.
“Usaha menggalakkan kemasukan pelabur asing boleh dilakukan dengan menawarkan proses kemasukan pelabur yang lebih fleksibel serta pengecualian cukai yang lebih menarik.
“Kerajaan juga perlu mempercepat langkah menarik pelaburan asing terutama dari negara sahabat seperti Turkiye dengan menyediakan infrastruktur yang kondusif untuk pelabur asing seperti proses dan jangka masa kelulusan, tapak dan lokasi pelaburan, selain kemudahan tenaga kerja yang terjamin,” katanya, semalam.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan juga dijangka memberi tumpuan khas kepada langkah menjana ekonomi berteraskan konsep Malaysia Madani dengan membina semula ekonomi negara kesan daripada penurunan ekonomi global bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Justeru, penstrukturan serta pemulihan semula ekonomi dijangkakan tertumpu kepada isu kemiskinan seperti peluang pekerjaan dan penerusan subsidi bagi menangani kos sara hidup rakyat dalam jangka pendek.
Fuad berkata, kerajaan juga perlu mengawal inflasi dalam pasaran dengan memberi kebebasan dan kelonggaran kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menentukan dasar kewangan dengan kawalan kerajaan yang minimum.
Menurutnya, bagi menjamin kestabilan harga khususnya barangan keperluan utama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memainkan peranan proaktif terutama dari segi pemantauan serta membanteras penyeludupan, aktiviti sorok barang, dan ketirisan barangan subsidi.
“Selain itu kerajaan juga perlu telus dan tegas dalam mengurus hutang negara yang telah mencecah RM1.5 trilion, menghampiri 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menjadi had hutang ditetapkan.
“Peningkatan ini disebabkan terutama oleh kadar faedah yang tinggi selain peningkatan kos mengurus hutang. Sebanyak lebih RM43 bilion atau 18.4 peratus hasil negara terpaksa diperuntukkan hanya untuk bayaran khidmat hutang Kerajaan Persekutuan pada 2022,” ujarnya.
Beliau tidak menafikan perbelanjaan subsidi kerajaan bagi 2022 berjumlah RM77.7 bilion adalah besar dan bermanfaat, begitu juga dengan bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
“Namun begitu, kerajaan perlu mengemukakan pakej rangsangan ekonomi yang bukan sekadar bantuan sekali gus dalam jangka pendek sebaliknya yang lebih menyeluruh dan berterusan dalam jangka panjang,” jelasnya. – UTUSAN










