Untung lepas cukai PGB lebih rendah, RM1.76b

Untung lepas cukai PGB lebih rendah, RM1.76b

PENYUSUTAN keuntungan disebabkan pertukaran asing yang tidak menggalakkan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Gas Berhad (PGB) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) yang lebih rendah sebanyak RM1.76 bilion bagi tahun kewangan 2022 berbanding RM2.11 bilion tahun sebelumnya.

Menurut kenyataannya, penyusutan tersebut didorong oleh keuntungan kasar yang lebih rendah dan pergerakan pertukaran asing yang tidak menggalakkan.

Kumpulan merekodkan peningkatan hasil sebanyak sembilan peratus atau RM512 juta kepada RM6.16 bilion, terutamanya didorong oleh hasil yang lebih tinggi daripada segmen utiliti berikutan harga produk yang lebih tinggi.

Keuntungan kasar lebih pula rendah sebanyak 14 peratus pada RM2.35 bilion berbanding RM2.72 bilion pada 2021 hasil daripada sumbangan yang lebih rendah daripada semua segmen berikutan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, terutamanya perbelanjaan penggunaan gas bahan api dan gas dalaman.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2022, PGB mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.63 bilion, sembilan peratus lebih tinggi berbanding RM1.50 bilion pada suku yang sama 2021, disumbangkan terutamanya segmen utiliti hasil daripada harga gas bahan api yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, PAT menurun sebanyak lima peratus daripada RM489 juta kepada RM462 juta sejajar dengan keuntungan kasar yang lebih rendah dan sebahagiannya diimbangi oleh kesan pergerakan pertukaran asing yang menggalakkan berikutan pengukuhan ringgit pada suku tersebut.

PGB mengisytiharkan dividen sebanyak 22 sen sesaham untuk suku tersebut, turun 10 sen daripada 32 sen sesaham pada suku sama 2021.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Aziz Othman berkata, PGB masih mencatatkan tahap keuntungan yang sihat untuk tahun kewangan 2022 walaupun harga gas yang lebih tinggi  yang belum pernah berlaku dan ringgit yang lebih lemah

“Komitmen kami untuk menjalankan kilang dengan cekap, sambil menerapkan disiplin kos dan pengoptimuman sebahagiannya telah mengurangkan kos operasi yang lebih tinggi ini.

“Menuju 2023, kami akan meneruskan inisiatif operasi ini sambil mengejar peluang pertumbuhan untuk mempelbagaikan aliran hasil sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk mengurangkan pulangan yang lebih rendah daripada tarif Tempoh Kawal Selia 2 (RP2),” ujarnya.

PGB berada di bawah Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) berkuat kuasa 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025, terpakai untuk perniagaan Pengangkutan Gas dan Pengegasan Semula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN