PETALING JAYA: Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd. (PDB) bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2022 meningkat kepada RM776.60 juta berbanding RM529.75 juta pada tahun sebelumnya.
Hasil pula meningkat kepada RM36.75 bilion daripada RM22.67 bilion, menurut makluman kepada Bursa Malaysia.
Keuntungan bersih lebih tinggi itu disumbang daripada keuntungan kasar yang tinggi daripada semua segmen terutama segmen komersial susulan peningkatan permintaan sepanjang tempoh tersebut.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, PDB menutup tahun fiskal dengan rekod jualan bahan api yang mengagumkan dan pertumbuhan dua angka dengan memenuhi keperluan dan keutamaan pelanggan, disokong ekosistem bersepadu yang kukuh.
“Keputusan kukuh kami mencerminkan usaha berterusan untuk inovasi dan usaha pertumbuhan baharu walaupun menghadapi cabaran pasaran.
“Tahun ini menyaksikan kami pada kadar untuk memikirkan semula strategi kami, mengukuhkan keupayaan dan mengubah perniagaan kami melangkaui peruncitan bahan api,” katanya dalam kenyataan.
Bagi suku yang ditinjau, PDB memasuki ruang mobiliti bukan bahan api dan hijau dengan pelancaran hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) pertama Malaysia di Stesen PETRONAS Bandar Baru Ayer Hitam, Melaka.
PDB akan terus meneroka dan mengembangkan perkongsiannya dalam EV dan ruang tenaga mampan, terutamanya dengan Gentari Sdn. Bhd. serta rakan kongsi lain untuk menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara rendah karbon menjelang 2040.
Dalam perniagaan bahan api dan pelincir PDB, PETRONAS Primax dan PETRONAS Syntium terus memenangi hati pengguna, menerima anugerah emas di Anugerah Jenama Putra 2022 di bawah kategori Bahan Api, Pelincir dan Aksesori Automotif, menandakan kemenangan emas ke-13 berturut-turut PDB sejak 2010.
Setel menyaksikan pertumbuhan pesat pada tahun itu didorong tawaran bukan bahan api baharu yang dikeluarkan pada aplikasi mudah alihnya seperti pengecasan EV, tempat letak kereta, pembaharuan cukai jalan, takaful motor dan insurans, bantuan kereta dan pembayaran di rakan kongsi runcit.
PDB juga memperkenalkan rangkaian tawaran bukan bahan api yang diperluas sambil terus memberi tumpuan kepada kemampanan termasuk bekerjasama dengan Kumpulan Malaysia Airlines untuk memacu lapan penerbangan yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines, Firefly dan MASWings dengan bahan api penerbangan mampan (SAF).
Selain itu, PDB turut membuka sebanyak 41 kedai Café Mesra pada 2022 di stesen dan premis Petronas termasuk kiosk berdiri sendiri di stesen LRT Bangsar dan cawangan Pos Malaysia terpilih.
Tambah Azrul, melangkah ke tahun 2023, kumpulan komited menjadikan kehidupan seharian pelanggan lebih mudah dalam produk dan perkhidmatan yang ditawarkan serta impak positif yang boleh dilakukan kepada komuniti dan alam sekitar.
PDB mengisytiharkan dividen interim sebanyak 26 sen sesaham biasa dan dividen khas sebanyak 14 sen sesaham biasa bagi suku berakhir 31 Disember 2022.
Bagi tahun kewangan 2022, PDB telah mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 76 sen sesaham biasa yang mewakili 100 peratus nisbah pembayaran. – UTUSAN









