PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai dan Zakat (PATZ) sebanyak RM226.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, susut 36.2 peratus daripada RM355.3 juta yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.
Penyusutan itu disebabkan hasil dagangan keseluruhan yang lebih rendah sebanyak RM377.1 juta pada 2022, susut 30.7 peratus berbanding 2021, manakala jumlah perbelanjaan operasi meningkat sedikit sebanyak 1.4 peratus kepada RM292.7 juta daripada RM288.6 juta pada tahun sebelumnya.
Lembaga Pengarah meluluskan dan mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 11.5 sen sesaham berjumlah RM93.1 juta. Jumlah pembayaran dividen untuk 2022 adalah 26.5 sen sesaham, termasuk dividen interim sebanyak 15 sen sesaham yang dibayar pada Ogos 2022.
Pasaran Sekuriti mencatatkan hasil dagangan sebanyak RM263.5 juta pada tahun tinjauan berbanding RM442.9 juta pada 2021, penurunan sebanyak 40.5 peratus disebabkan Purata Nilai Harian (ADV) yang lebih rendah didagangkan untuk dagangan dalam pasaran Pasaran Sekuriti dan urus niaga perniagaan langsung.
Sementara itu, hasil dagangan Pasaran Derivatif meningkat sebanyak 11.3 peratus kepada RM97.2 juta dalam 2022 daripada RM87.3 juta pada tahun sebelumnya, sebahagiannya disebabkan oleh yuran pengurusan cagaran yang lebih tinggi, serta bilangan kontrak FCPO dan FKLI yang lebih tinggi yang didagangkan.
Hasil dagangan Pasaran Derivatif meningkat sebanyak 11.3 peratus kepada RM97.2 juta pada 2022 daripada RM87.3 juta pada tahun sebelumnya, sebahagiannya disebabkan oleh yuran pengurusan cagaran yang lebih tinggi diperolehi, serta bilangan niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) yang lebih tinggi dan FBM KLCI (FKLI) didagangkan.
Selain itu, hasil dagangan Bursa Suq Al-Sila (BSAS) pula meningkat 17.8 peratus kepada RM16.4 juta pada 2022 daripada RM14.0 juta pada 2021.
Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Bursa Malaysia kekal berdaya tahan walaupun walaupun keadaan operasi global mencabar menyebabkan dagangan dalam Pasaran Sekuriti menjadi lemah.
“Nilai dagangan merosot sebanyak 41.5 peratus dengan ADV sebanyak RM2.1 bilion pada 2022 tetapi ini masih lebih tinggi daripada ADV pra-pandemik sebanyak RM1.9 bilion.
“Bagaimanapun, Pasaran Derivatif menunjukkan prestasi yang lebih baik dengan Purata Kontrak Harian (ADC) meningkat sebanyak 4.6 peratus daripada 75,178 kontrak pada 2021 kepada 78,621 kontrak pada 2022.
“Platform Murabahah Komoditi kami, BSAS juga menunjukkan prestasi yang baik dengan ADV 22.3 peratus lebih tinggi daripada RM37.3 bilion kepada RM45.6 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai minat penyenaraian yang sangat aktif di Bursa dengan 35 Tawaran Awam Permulaan (IPO) direkodkan pada 2022 yang mengumpul sejumlah RM3.5 bilion, lebih tinggi daripada 30 IPO yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
“Angka-angka ini membuktikan bahawa kedua-dua syarikat dan pelabur mempunyai keyakinan terhadap pasaran modal Malaysia dan melihat Bursa Malaysia sebagai platform yang layak untuk pengumpulan dana dan melabur,” ujarnya. – UTUSAN










