PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang meningkatkan agenda peralihan tenaganya yang bertanggungjawab melalui tiga cadangan kerjasama dengan pemain tenaga utama di Thailand untuk memanfaatkan permintaan serantau dan potensi dalam kuasa hijau di ASEAN.
Melalui perkongsian itu, TNB berhasrat mengukuhkan kesalinghubungan kuasa ASEAN dan membolehkan pelbagai rakan kongsi memanfaatkan sumber masing-masing dan membangunkan infrastruktur serantau yang berkaitan untuk tenaga boleh diperbaharui (RE).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kerjasama itu adalah langkah strategik untuk merealisasikan mercu tanda penting dalam plan Peralihan Tenaga bertanggungjawab kami dan komitmen keseluruhan hala tuju kelestarian TNB.
“Kerjasama itu akan mempercepatkan cita-cita neutral karbon setiap syarikat rakan kongsi dan mengukuhkan momentum pertumbuhan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di rantau ASEAN.
“Dengan unjuran Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA) bahawa lebih 60 peratus daripada penjanaan terpasang negara-negara ASEAN pada 2050 adalah bersumberkan TBB, iaitu sekurang-kurangnya 1,500GW kapasiti penjanaan, yang mana TNB berharap dapat menyertainya,” katanya dalam kenyataan.
Syarikat utiliti itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) di Bangkok, semalam untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama bagi mengkaji kebolehlaksanaan cadangan peningkatan kapasiti kesalinghubungan di antara Semenanjung Malaysia dan Thailand.
Dua anak syarikat TNB iaitu TNB Renewables Sdn. Bhd. (TRe) dan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) menandatangani MoU masing-masing dengan Planet Utility Co. Ltd (PU) dan B.Grimm Power Public Co. Ltd (B.Grimm).
MoU TRe-PU adalah untuk meneroka potensi TBB dan peluang teknologi penjanaan di Thailand manakala MoU Genco-B.Grimm akan meneroka sebarang peluang untuk kerjasama, penyertaan dan pembangunan projek TBB di rantau ini.
Bagi MoU dengan PU, ia termasuk menilai pilihan strategik untuk pelaburan TBB berpotensi di Thailand merangkumi solar terapung, solar atas bumbung dan ladang solar yang akan menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan TRe dan pengembangan pasaran.
Kerjasama itu bertujuan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak dalam pelaburan dan pembangunan projek-projek TBB serta meneroka peluang lain di rantau ini.
Dalam MoU dengan B.Grimm pula, TNB Genco antara lain berhasrat untuk berkolaborasi, membangunkan bersama dan melabur dalam projek baru tenaga mampan pilihan bersama serta projek tenaga konvensional B.Grimm Power, di rantau Asia Tenggara.
Penglibatan dalam projek-projek ini dijangka menyokong pertumbuhan TNB Genco dan sasaran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selaras dengan aspirasi TNB untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.
Majlis menandatangani MoU itu diadakan sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bangkok yang turut menyaksikan pertukaran dokumen ketiga-tiga MoU tersebut.
Jelas Baharin, kajian kesalinghubungan grid Semenanjung-Thailand akan memudahkan integrasi TBB di rantau ASEAN dan meluaskan potensi perdagangan tenaga pelbagai hala serantau pada masa depan.
Kerjasama dan penerokaan dengan rakan kongsi Thailand itu akan membolehkan lebih banyak lagi peluang perniagaan di peringkat serantau dan pada masa sama meningkatkan kapasiti TBB TNB.
TNB dalam empat inisiatifnya mahu mempercepatkan agenda kemampanan Kumpulan dengan meneruskan pelaburan besar Grid Masa Depan, mempercepatkan penyahkarbonan untuk meningkatkan nilai perusahaan portfolio penjanaannya, TNB Genco; memperluaskan pasaran tumpuan untuk mengembangkan TBB dan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik. – UTUSAN









