PETALING JAYA: Pemilik kenderaan elektrik (EV) yang menggunakan rangkaian Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menikmati perjalanan yang lebih selesa apabila 18 kemudahan pengecas TNB Electron disediakan kepada mereka menjelang hujung tahun ini.
Kemudahan tersebut adalah hasil kolaborasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan PLUS dengan sokongan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Pada ketika ini, kemudahan pengecas TNB Electron disediakan di tiga buah Hentian Rehat dan Rawat (R&R) iaitu Ayer Keroh (Arah Utara) dan Tapah (Arah Utara) di Lebuhraya Utara-Selatan dan Paka (Arah Utara) di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Enam lagi TNB Electron sedang dibangunkan di R&R Machap (Arah Selatan), Rawang (Arah Utara), Gunung Semanggol (Arah Selatan), Gurun (Arah Utara dan Selatan) dan Paka (Arah Selatan) yang dijangka siap pada tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, penggunaan tenaga elektrik di sembilan TNB Electron itu yang dianggarkan sebanyak 99,000 kWh elektrik sepanjang tahun ini dapat menghindari pelepasan 7.2 tan metrik karbon dioksida dalam tempoh sama.
Jelasnya, ia bersamaan dengan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 8.5 ekar hutan setahun.
“Pembangunan industri EV adalah sebahagian daripada komitmen TNB untuk memberi tumpuan terhadap usaha penyelesaian tenaga lestari di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Agenda Peralihan Tenaga TNB menyasarkan tenaga sifar bersih pada tahun 2050 melalui pengurangan 35 peratus intensiti pelepasan karbon menjelang 2035.
“TNB telah menjadikan pembangunan ekosistem EV sebagai antara empat inisiatif mempercepatkan pacuan Peralihan Tenaganya dalam usaha meningkatkan komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah PLUS dan Pengarah Urusan Kumpulan UEM, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, PLUS sebagai pengendali infrastruktur lebuh raya yang utama negara berganding bahu bersama TNB dan menggunakan kepakaran teknologi sumber tenaga mereka untuk ditawarkan dan dinikmati oleh pengguna lebuh raya PLUS.
“Sehingga Januari tahun ini, sebanyak 20 kemudahan pengecas pantas telahpun beroperasi di sepanjang Lebuh raya PLUS. Kami bersedia untuk menambah lebih banyak kemudahan ini di R&R yang lain.
“Kami juga yakin Pengecas TNB Electron ini akan dapat memberikan lebih pilihan kepada pemilik kenderaan elektrik di Lebuhraya PLUS dengan kos yang lebih efektif.
“Justeru, beberapa inisiatif turut dilaksanakan melalui kerjasama kedua-dua belah pihak dengan tumpuan memperluaskan lagi penyelesaian kWh, kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu serta inisiatif tenaga hijau termasuk pemasangan bumbung solar dan sistem pemantauan tenaga sebagai pelengkap inisiatif Kelestarian Alam Sekitar PLUS,” ujarnya.
PLUS dan TNB akan meneruskan perbincangan berkaitan mobiliti rendah karbon dan meningkatkan kecekapan tenaga dengan mengoptimumkan kos elektrik di samping menyokong sumber tenaga hijau. – UTUSAN










