PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang memulakan projek perintis menggunakan Light Steel Drum (LSD) dalam pembekalan kabel sebagai salah satu alternatif kepada dram kayu mulai pertengahan Mac depan.
Menurut TNB, ia adalah salah satu lagi inisiatif sejajar komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Jelasnya, inisiatif itu akan mengelakkan penebangan 5,000 pokok setahun untuk menyediakan 14,000 dram bagi penggunaan pelbagai saiz kabel di mana projek itu dimulakan dengan Tenaga Cable Industries Sdn. Bhd. (TCI).
“Sekiranya pelaksanaan ini memberi impak serta memberi manfaat kepada persekitaran maka ianya akan dilanjutkan penggunaannya kepada pengilang kabel yang lain.
“Projek perintis ini juga sebahagian daripada usaha proaktif TNB untuk menangani Skop 3 Pelepasan dalam memastikan ekosistem vendor dan rantaian bekalan TNB juga mematuhi piawaian ESG,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, projek perintis LSD yang boleh guna semula itu dilaksanakan dengan jayanya sejak Mac 2022, dan mendapat kelulusan Lembaga Pengarah pada November lalu.
“Sebenarnya kami telah menukar cabaran kekurangan bekalan dram kayu menjadi peluang meneroka solusi baru yang bukan sahaja menjamin pembekalan kabel, malah menyumbang kepada peningkatan komitmen terhadap ESG,” katanya.
Kata beliau, kejayaan projek perintis itu adalah melalui usaha Bahagian Procurement & Supply Chain (P&SC) dengan kerjasama TCI dan Bahagian Rangkaian Pembahagian (DN) serta di enam tapak projek di sekitar Lembah Klang.
Jelasnya, pemerhatian dan analisa mendapati penggunaan LSD adalah lebih berkesan dan tahan lasak berbanding dram hibrid.
“Setiap LSD boleh diguna semula sehingga lima (5) kali, sekali gus dapat mengelak penggunaan dua hingga tiga batang pokok balak dan secara tidak langsung menyumbang kepada lebih banyak karbon dioksida dapat diserap oleh pokok yang diselamatkan,” katanya.
Baharin berkata, kekurangan sumber kayu telah menyebabkan pembekal menaikkan harga dram kayu secara mendadak sehingga 50 peratus pada penghujung 2021 dan tempoh pesanan mendapat bekalan mengambil masa hingga empat minggu, lantas boleh menjejaskan urusan pembekalan kabel.
Justeru katanya, penggunaan LSD mengurangkan kebergantungan terhadap sumber semula jadi iaitu kayu balak untuk pembuatan dram kabel, menjamin pembekalan kabel dan turut menyumbang kepada kelestarian ekosistem.
“Selain memberi kesan positif kepada alam sekitar, LSD yang dipasang dengan alat pengesan untuk mengumpul maklumat termasuk lokasi dan status pergerakan, turut membantu langkah mencegah kecurian,” katanya. – UTUSAN










