Permintaan domestik berkembang 5.4 peratus

[TINJAUAN EKONOMI] Permintaan domestik berkembang 5.4 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMINTAAN domestik diunjur berkembang sebanyak 5.4 peratus pada 2023 walaupun berhadapan dengan jangkaan persekitaran global yang mencabar, dipacu perbelanjaan sektor swasta yang dijangka berkembang sebanyak 6.1 peratus.

Sementara itu, perbelanjaan sektor awam diunjur meningkat sebanyak 2.5 peratus.

Menurut Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini, penambahbaikan pasaran buruh yang berterusan serta peningkatan aktiviti ekonomi dan sosial terutamanva aktiviti berkaitan pelancongan berikutan pembukaan semula sempadan China dijangka menyokong pertumbuhan penggunaan swasta sebanyak meskipun pada kadar yang sederhana.

“Unjuran perbelanjaan pengguna yang menyederhana adalah disebabkan oleh peningkatan permintaan yang semakin perlahan berikutan pengurangan impak pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  serta kesan tertangguh kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Namun, usaha berterusan kerajaan bagi membendung inflasi, pemberian Sumbangan Tunai Rahmah untuk kumpulan isi rumah B40 serta bantuan khas kewangan RM700 kepada penjawat awam dan RM350 kepada pesara pada Januari 2023 dijangka dapat menyokong pendapatan boleh guna isi rumah dan merangsang perbelanjaan swasta,” katanya.

Laporan menyatakan, pelaburan swasta dijangka meningkat sebanyak 5.8 peratus terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan didorong usaha kerajaan untuk meningkatkan tadbir urus yang baik, mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan memudah cara kelulusan pelaburan yang lebih pantas.

“Pelbagai langkah akan dilaksanakan untuk meningkatkan daya saing dan ekosistem pelaburan Malaysia yang dijangka dapat merangsang lebih banyak pelaburan berkualiti seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Langkah tersebut termasuk penubuhan dana dan pemberian insentif untuk menyokong penerimagunaan digitalisasi, teknologi termaju, automasi, teknologi hijau serta amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang lebih meluas dalam kalangan perniagaan,” ujarnya.

Selain itu, menurut laporan, tumpuan kerajaan terhadap peningkatan kapasiti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dijangka terus mendorong pertumbuhan pelaburan swasta manakala perbelanjaan modal sektor awam terus menjadi pelengkap kepada pelaburan sektor swasta.

“Projek utama yang dijangka bermula pada 2023 ialah projek menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) Fasa 2. Penerusan projek berkaitan pengangkutan berskala besar seperti LRT3, ECRL dan Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) juga akan merancakkan pelaburan awam.

“Keseluruhannya, pelaburan awam dijangka meningkat sebanyak 7.0 peratus pada 2023,” ujarnya.

Sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang menyederhana, pendapatan negara kasar pada harga semasa dijangka berkembang sebanyak 5.8 peratus pada 2023.

Sementara itu, tabungan negara kasar dan jumlah pelaburan dijangka mencatat 25.4 peratus dan 22.4 peratus daripada pendapatan negara kasar.

Jurang tabungan-pelaburan dijangka terus mencatat lebihan sebanyak RM55.2 bilion atau 3.0 peratus daripada pendapatan negara kasar yang membolehkan negara membiayai pelaburan terutamanya daripada sumber domestik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN