Hutang luar meningkat kepada RM1.17 trilion

[TINJAUAN EKONOMI] Hutang luar meningkat kepada RM1.17 trilion

opr
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUTANG luar meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada RM1.17 trilion atau 65.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), pada akhir September 2022.

Menurut Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini, peningkatan itu terutamanya disebabkan oleh peningkatan pinjaman luar pesisir dan deposit bukan pemastautin serta kesan penilaian daripada tukaran mata wang asing berikutan kenaikan nilai dolar Amerika Syarikat (AS).

“Pinjaman luar pesisir meningkat kepada RM646.7 bilion atau 55.3 peratus daripada jumlah hutang luar terutamanya disebabkan oleh pinjaman antara bank yang lebih tinggi dan pinjaman berdenominasi mata wang asing bersih oleh sektor swasta.

“Pemegangan hutang luar oleh bukan pemastautin yang merangkumi sekuriti hutang dalam denominasi ringgit dan deposit meningkat kepada RM365.7 bilion berikutan deposit yang lebih tinggi iaitu RM111.4 bilion.

“Lain-lain hutang luar turut meningkat kepada RM157 bilion disebabkan oleh kredit perdagangan yang lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, hutang luar kekal terurus didorong profil kematangan hutang yang baik dengan komposisi hutang jangka sederhana dan panjang yang tinggi iaitu 58.5 peratus berbanding hutang jangka pendek sebanyak 41.5 peratus.

“Rizab mata wang asing yang mencukupi dapat mengurangkan risiko pembiayaan semula liabiliti luar jangka pendek,” katanya dalam laporan tersebut.

Tambah laporan itu, pada akhir September 2022, hutang sektor awam yang merangkumi obligasi hutang terkumpul kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun dan syarikat awam bukan kewangan (SABK) meningkat sebanyak 7.0 peratus kepada RM1.5 trilion atau 83 peratus daripada KDNK terutamanya disebabkan oleh peningkatan hutang kerajaan persekutuan daripada 70.6 peratus kepada 72.4 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang.

Ujarnya, jumlah hutang badan berkanun yang dijamin Kerajaan meningkat kepada RM95.2 bilion berikutan terbitan bersih Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

“Sementara itu, hutang SABK berkurang kepada RM314.9 bilion terutamanya disumbangkan oleh bayaran balik prinsipal hutang luar pesisir yang matang. Hutang sektor awam kekal terurus memandangkan sebahagian bear hutang adalah berdenominasi ringgit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×