Sunway Construction catat PBT RM184.1 juta - Utusan Malaysia

Sunway Construction catat PBT RM184.1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Sunway Construction Group Berhad (Sunway Construction) mencatatkan untung sebelum cukai (PBT) sebanyak RM184.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, disokong oleh prestasi yang lebih baik daripada semua segmen.

Bagi tempoh yang sama, kumpulan merekodkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 24.6 peratus kepada RM2.2 bilion berbanding RM1.7 bilion pada tahun sebelumnya.

Pendapatan bagi segmen pembinaan meningkat 22.9 peratus tahun ke tahun kepada RM2.0 bilion berikutan sumbangan daripada projek di India dan normalisasi aktiviti ekonomi dalam tahun kewangan semasa. 

Pada tahun kewangan sebelumnya, pelbagai fasa penutupan telah menjejaskan produktiviti aktiviti pembinaan yang seterusnya membawa kepada peningkatan 16.6 peratus PBT kepada RM173.4 juta pada 2022.

Sementara itu, segmen pratuang mencatatkan hasil sebanyak RM181.6 juta bagi tahun kewangan 2022, daripada RM122.9 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

PBT pula meningkat lebih dua kali ganda, daripada RM3.4 juta pada tahun kewangan 2021 kepada RM10.7 juta pada 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Construction, Liew Kok Wing berkata, kumpulan melepasi sasaran buku pesanan baharu tahun kewangan 2022 dengan mengakhiri tahun pada RM2.6 bilion, berbanding sasaran sebanyak RM2.0 bilion.

“Kami terus mencapai kemajuan yang baik dalam usaha pengembangan perniagaan baharu kami. Baru-baru ini kami telah memperoleh projek pusat data hiperskala sulung kami yang bernilai kira-kira RM1.7 bilion di Sedenak Tech Park, Johor.

“Selepas mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang teguh pada 2022, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka sederhana pada 2023.

“Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka termasuk potensi kenaikan harga bahan binaan, kumpulan secara berhati-hati optimis untuk mencatat pertumbuhan positif pada tahun kewangan 2023 disokong oleh buku pesanan tertunggak sedia ada kami yang kukuh,” ujarnya.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 pula, Sunway Construction mencatatkan pendapatan dan PBT masing-masing sebanyak RM503.4 juta dan RM56.3 juta.

Pada suku yang sama pada tahun sebelumnya, hasil dan PBT kumpulan masing-masing berjumlah RM626.6 juta dan RM91 juta.

Prestasi kewangan yang lebih lemah pada suku yang ditinjau disebabkan terutamanya oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembinaan.

Sunway Construction mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 2.50 sen bagi setiap saham biasa, menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 meningkat kepada 5.50 sen, berbanding 5.25 sen pada 2021.

Berdasarkan harga saham Sunway Construction sebanyak RM1.56 pada 31 Disember 2022, diterjemahkan kepada hasil dividen sebanyak 3.5 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya