PETALING JAYA: Airbnb sekali lagi menegaskan garis panduan yang dicadangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi penginapan sewaan jangka pendek (STRA) bakal menjejaskan punca pendapatan ramai rakyat Malaysia jika ia digubal dan diluluskan tahun ini.
Syarikat hospitaliti global itu dalam satu kenyataan media memaklumkan, jika STRA diluluskan, ia mampu menimbulkan sekatan berlebihan yang menyukarkan rakyat tempatan untuk berkongsi rumah mereka dalam jangka masa panjang.
“Ini termasuk mengehadkan tempoh penginapan tetamu kepada maksimum tiga hari sahaja, dan maksimum 180 hari setahun yang mana sesebuah kediaman boleh disewakan.
“Untuk bangunan strata dengan hak milik komersial, ia melibatkan proses pendaftaran yang rumit serta memerlukan kelulusan daripada dua entiti yang berasingan iaitu Pesuruhjaya Bangunan dan Badan Pengurusan Bersama bangunan,” katanya.
Tambah Airbnb lagi situasi tersebut turut terpakai kepada rakyat Malaysia yang telah membeli unit kediaman dengan jaminan daripada pemaju bahawa mereka boleh menjalankan aktiviti komersial, termasuk STRA, untuk menjana pendapatan bagi membiayai gadai janji mereka.
“Namun di bawah garis panduan yang dicadangkan, aktiviti STRA tidak dibenarkan di bangunan strata dengan hak milik kediaman di Pulau Pinang,” katanya.
Katanya lagi, Pulau Pinang merupakan destinasi paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia dengan Georgetown menduduki tempat teratas bagi destinasi domestik yang paling banyak dicari di Airbnb tahun lalu.
“Jadi dengan mengehadkan pelancongan di Pulau Pinang, garis panduan yang dicadangkan boleh menjejaskan pemulihan perjalanan domestik dan antarabangsa dan pertumbuhan pekerjaan di Pulau Pinang dalam jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh berkata, ramai individu di Pulau Pinang berjaya menyara kehidupan dan menjana pendapatan tambahan dengan menjadi hos Airbnb di negeri berkenaan.
“Kami percaya bahawa sewaan jangka pendek perlu dikawal selia secara adil dan progresif untuk membolehkan rakyat Malaysia berkongsi rumah mereka tanpa sekatan berlebihan, terutamanya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup.
“Kami menggesa kerajaan Pulau Pinang untuk mempertimbangkan semula garis panduan yang dicadangkan dan menerima pakai pendekatan yang seimbang dan mudah ke arah mengawal selia STRA di negeri ini,” katanya. – UTUSAN










