PETALING JAYA: Sektor pembuatan ASEAN kecuali Malaysia, meningkat pada Januari lalu selepas mengalami penguncupan dua bulan sebelumnya, menurut tinjauan indeks pengurusan pembelian (PMI) oleh S&P Global.
Menurutnya, peningkatan didorong sebahagian besarnya oleh kenaikan sederhana dalam sektor pengeluaran dan tempahan baharu, yang membawa kepada penambahbaikan bulan ke-16 berturut-turut.
Tinjauan itu juga mendapati, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mengalami kemerosotan ketara dalam sektor pembuatannya, dengan kadar penguncupan semakin pantas untuk bulan keempat berturut-turut.
Pakar ekonomi Global Market Intelligence S&P, Usamah Bhatti berkata, inflasi di ASEAN kekal tinggi, dan kenaikan kadar selanjutnya di rantau itu boleh dijangka.
“Adalah penting untuk permintaan terus pulih dan mampu menyokong momentum pertumbuhan pada tahun ini,” katanya, semalam.
Menurut tinjauan S&P, bacaan PMI terkini Malaysia sebanyak 46.5, susut daripada 47.8 pada Disember 2022, paling rendah dicatatkan dalam tempoh 17 bulan.
Penemuan itu mencadangkan prestasi bercampur-campur mengenai sektor berkenaan, di mana kebanyakan firma menaikkan pembelian input mereka untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan pada kadar terpantas dalam tempoh tiga bulan.
“Tajuk PMI meningkat daripada 50.3 pada Disember kepada paras tertinggi tiga bulan pada 51. Ia menyatakan kadar pengembangan kekal ‘rapuh’ berbanding purata tahun lepas,” katanya.
Dalam nota berasingan, S&P Global berkata, tahap keluaran Malaysia dikurangkan untuk bulan keenam berturut-turut, dan pada kadar terpantas sejak September 2021, manakala kadar pengurangan dalam aliran masuk pesanan baharu adalah yang paling ketara dalam tempoh 17 bulan.
“Firma (Malaysia) sering mengulas bahawa kelemahan ekonomi domestik dan global telah menjejaskan pengeluaran dan permintaan,” jelasnya.
S&P Global berkata, tahap pekerjaan dalam sektor pembuatan Malaysia meningkat buat kali pertama dalam tempoh empat bulan. Masa yang diambil untuk menerima input juga dipendekkan buat kali pertama sejak November 2019.
“Akibatnya, harga input meningkat pada kadar sederhana yang merupakan paling perlahan dalam urutan semasa inflasi selama 32 bulan,” katanya. – UTUSAN










