Sektor pembinaan catat pemulihan - Utusan Malaysia

Sektor pembinaan catat pemulihan

SEKTOR pembinaan negara catat peningkatan bagi suku keempat 2022. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembinaan terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada suku keempat 2022 dengan nilai kerja pembinaan meningkat sebanyak 15.7 peratus kepada RM32 bilion, menurut Jabatan Perangkaan.

Secara keseluruhan pada 2022, sektor ini mencatatkan pemulihan 8.8 peratus selepas dua tahun dalam trend menurun. 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata , nilai kerja pembinaan terus meningkat sebanyak 15.7 peratus pada suku keempat selepas berkembang kukuh sebanyak 23.2 peratus pada suku ketiga 2022. 

Katanya, momentum pertumbuhan pada suku tersebut didorong oleh pertumbuhan dua digit dalam subsektor kejuruteraan awam (20.8 peratus); bangunan bukan kediaman (19 peratus); dan aktiviti pertukangan khas (12.7 peratus). 

“Sementara itu, subsektor bangunan kediaman meningkat 5.3 peratus berbanding pada setahun yang lalu.

“Daripada  RM32 bilion nilai kerja pembinaan yang direkodkan pada suku tersebut, sebanyak RM12.1 bilion atau 37.9 peratus adalah dalam kejuruteraan awam dan diikuti oleh bangunan bukan kediaman dengan sumbangan sebanyak RM9.6 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata, nilai kerja pembinaan bagi bangunan kediaman dan aktiviti pertukangan khas masing-masing merangkumi 21.8 peratus dan 10.2 peratus.

Mengulas lanjut mengenai prestasi sektor pembinaan mengikut pemilik projek, Mohd. Uzir berkata, sektor swasta terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan sektor pembinaan pada suku itu yang meningkat sebanyak 23.5 peratus.

“Nilai kerja oleh sektor swasta berjumlah RM20 bilion atau merangkumi 62.6 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan. Sementara itu, sektor awam dengan sumbangan sebanyak 37.4 peratus atau bersamaan RM12 bilion, meningkat 4.7 peratus pada suku tersebut.

“Menganalisis prestasi sektor pembinaan mengikut negeri, lebih 60 peratus daripada nilai kerja tertumpu di Selangor yang berjumlah RM7.7 bilion atau 24.2 peratus; Wilayah Persekutuan (RM4.7 bilion atau 14.7 peratus); Sarawak (RM3.7 bilion atau 11.7 peratus); dan Johor (RM3.4 bilion atau 10.7 peratus),” ujarnya.

Tambah beliau, semua subsektor meningkat pada tahun ini dengan pertumbuhan dua digit dicatatkan dalam aktiviti pertukangan khas (19.6 peratus); dan bangunan bukan kediaman (18.7 peratus). 

“Pada masa yang sama, subsektor kejuruteraan awam dan bangunan kediaman bertukar kepada pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 2.7 peratus dan 3.4 peratus. 

“Jumlah nilai kerja pembinaan pada 2022 berjumlah RM121.9 bilion, walau bagaimanapun, ia kekal lebih rendah daripada tempoh pra-pandemik iaitu sebanyak RM146.4 bilion pada 2019,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.