PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pengawal Selia Sekuriti dan Bursa Kemboja (SERC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk memudahkan kerjasama pengawalseliaan, penguatkuasaan dan penyeliaan yang lebih luas antara kedua-dua pengawal selia.
Kerjasama itu berikutan globalisasi dan aktiviti rentas sempadan entiti/orang terkawal di kedua-dua negara yang semakin meningkat.
SC berkata, MOU tersebut yang meliputi bantuan penguatkuasaan rentas sempadan, kawal selia, dan penyeliaan pengantara pasaran modal, dan juga memudahcarakan maklumat pelesenan, akan mengukuhkan kerjasama dalam bidang kepentingan kawal selia bersama.
“Di samping itu, MOU itu juga membincangkan pembangunan kapasiti dan modal insan, termasuk pertukaran kepakaran kawal selia dan pengetahuan teknikal, bagi memudahkan dan menggalakkan pembangunan pasaran modal masing-masing, seiring dengan pertumbuhan dan pembangunan berterusan kedua-dua pasaran modal Malaysia dan Kemboja,” katanya dalam kenyataan.
MOU itu ditandatangani oleh Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin dan Ketua Pengarah SERC, Sou Socheat.
Sementara itu, Awang Adek berkata, peningkatan kerjasama kawal selia antara pihak berkuasa menjadi penting apabila kesalinghubungan antara pasaran ASEAN berkembang.
“MOU ini meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua pihak berkuasa dan akan memberi manfaat bersama dalam membangun dan mengawal selia pasaran modal masingmasing,” katanya.
Socheat pula berkata, dengan pemeteraian MOU itu, kerjasama antara kedua-dua pihak berkuasa dilihat amat bernilai, dan menandakan hubungan kukuh yang dipercayai dan perkongsian pengalaman dalam pelbagai bidang terutamanya pengawalseliaan dan penyeliaan.
“Kedua-dua pasaran akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini yang mewujudkan faedah jangka panjang untuk rakyat dan negara dalam globalisasi pasaran kewangan ini,” katanya.
Berikutan pemeteraian MOU itu, pegawai kanan SC dan SERC telah mengadakan perbincangan dua hala sebagai langkah pertama dalam meneroka objektif MOU untuk memudahkan pembangunan pasaran modal masing-masing. – UTUSAN










