PETALING JAYA: Ringgit dijangka terus menyusut pada minggu ini susulan desakan Amerika Syarikat (AS) yang mahu melihat kadar faedah di negara itu dinaikkan sehingga 5.0 peratus bagi mengekang kadar inflasi yang masih tinggi, kata penganalisis.
Ini kerana, data terkini Indeks Harga Pengeluar masih mencatatkan peningkatan 6.0 peratus di AS.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ringgit dijangka berada sekitar RM4.40 hingga RM4.45 pada minggu ini.
Bagaimanapun, penyusutan tersebut boleh memberi manfaat kepada eksport negara yang dapat meningkatkan lagi jumlah eksport.
“Selain itu, penyusutan ringgit boleh menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) kerana situasi tersebut menjadikan pelaburan di Malaysia lebih murah.
“Kesan negatif pula adalah import menjadi lebih mahal dan boleh menyebabkan inflasi meningkat terutamanya melibatkan barangan makanan yang diimport.
“Sektor perkilangan elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi seperti minyak dan gas dan juga minyak sawit yang mengalami peningkatan harga pada masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Jumaat lalu, mata wang negara yang ditutup pada 4.4265/4.4315 berbanding dolar AS. Ringgit berapa pada kedudukan lebih kukuh awal Februari apabila didagangkan pada 4.2330/2445 berbanding dolar, sebelum melemah disebabkan pelbagai faktor dalaman dan luaran.
Mengulas prestasi Bursa Malaysia pula, Ahmed Razman menjangkakan ia bercampur-campur sekitar 1,450 dan 1,500 mata disebabkan pelabur mungkin ingin menunggu pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat ini.
“Belanjawan 2023 juga akanmemberi kesan kepada sentimen pelabur kerana apa sahaja inisiatif yang akan diumumkan mestilah mesra pelabur,” ujarnya. – UTUSAN










