Rakyat bakal hadapi cabaran berikutan kenaikan IHPR - Utusan Malaysia

Rakyat bakal hadapi cabaran berikutan kenaikan IHPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) kepada 3.5 peratus pada Disember 2022 yang diumumkan baru-baru ini memberi gambaran akan cabaran dan kesan kos sara hidup yang bakal dihadapi rakyat.

Ketidaktentuan ekonomi dunia juga turut memberikan kesan yang amat besar kepada ekonomi negara dan menjejaskan pelbagai sektor perniagaan.

Profesor Madya Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr. Anuar Shah Bali Mahomed berkata, pada ketika ini, rakyat telah merasai kenaikan harga barangan mendadak disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya kesan berterusan peperangan Ukraine dan Russia yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat.

Ujarnya, selain itu, isu perubahan iklim juga turut menjejaskan pengeluaran makanan kerana Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati harga makanan mencecah paras tertinggi pada 2022 berikutan tercetusnya perang di Ukraine dan kemarau yang dikaitkan dengan perubahan iklim.

“Indeks Harga Makanan oleh FAO, yang melihat perubahan bulanan dalam harga antarabangsa bagi bahan makanan umum menunjukkan harga makanan adalah lebih daripada 14 peratus melebihi purata 2021.

“Dengan kemungkinan berlakunya kenaikan mendadak harga minyak, bahan api dan sumber tenaga juga berpotensi untuk memberikan kesan kepada kenaikan harga barang yang akan melambung lebih tinggi.

“Kenaikan harga alat ganti kenderaan termasuk bateri, tayar, minyak enjin serta kenaikan harga bahan binaan juga akan memberi tekanan kepada rakyat dan industri yang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Anuar Shah, perkara ini tentu sekali memberikan tekanan kepada industri automotif  secara keseluruhannya untuk mengekalkan harga kenderaan bagi tahun ini. 

Jelasnya, kenaikan secara berterusan harga bahan mentah untuk sektor pembinaan pula akan menyebabkan kenaikan harga rumah yang ketara pada tahun ini. 

Katanya, dengan kenaikan konsisten 10 hingga 20 peratus setiap tahun untuk harga bahan mentah, pemaju perumahan akan berhadapan dengan tekanan dan cabaran untuk bertahan bagi menyiapkan rumah yang dijual terutamanya yang melibatkan tempoh pembinaan yang panjang. 

“Bagaimana 2023 akan menjadi lebih baik apabila rakyat memperoleh pendapatan yang hampir sama dan pada masa yang sama perlu membeli barangan keperluan harian yang naik secara mendadak?

“Ini tidak termasuk peningkatan bayaran bulanan pinjaman disebabkan oleh kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara berterusan,” katanya.

Justeru, ujarnya, Bajet 2023 perlu digunakan oleh semua Ahli Parlimen tidak kira daripada kerajaan mahupun Pembangkang untuk mempersiapkan negara dalam berhadapan dengan tahun-tahun yang amat mencabar.

“Antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah mengawal kadar inflasi, mengawal kenaikan harga barangan terutamanya barangan keperluan asas, menawarkan pelbagai inisiatif akibat peningkatan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat, terutama golongan rentan serta merangsang pertumbuhan perniagaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.