Petronas ‘lepaskan’ Engen Ltd

Petronas ‘lepaskan’ Engen Ltd

petronas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencapai persetujuan menjual keseluruhan kepentingan 74 peratus dalam Engen Ltd kepada Vivo Energy, salah satu pengendali runcit bahan api Afrika terbesar dan sebahagian daripada syarikat tenaga multinasional Vitol.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Engen telah menjadi bahagian penting dalam portfolio perniagaan Kumpulan berkenaan selama hampir tiga dekad.

Menurut beliau, pengiktirafan ke atas sejarah syarikat yang panjang serta cemerlang selama 140 tahun menjadi kekuatan dan keupayaan Engen dan terus berkembang sebagai peneraju pasaran yang mampu meraih anugerah serta bertumpu kepada pelanggan di Afrika Selatan.

“Biarpun keputusan Petronas untuk berundur serta membentuk semula portfolionya didorong oleh keutamaan perniagaan yang berkembang, kami menghargai sepenuhnya potensi Engen dan mengakui bahawa ini merupakan langkah ke hadapan yang perlu bagi mempercepatkan lagi pertumbuhan.

“Dengan asas yang kukuh, Petronas percaya Vivo Energy bukan sahaja akan mengekalkan operasi yang mantap bagi Engen, tetapi akan membantu mengemudi syarikat itu melalui fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, adalah tidak wajar sekiranya Petronas tidak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Engen yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sehingga membolehkan syarikat berkenaan mencapai perlbagai kejayaan bersama dan berharap melihat Engen maju dalam fasa pertumbuhan seterusnya.

Untuk rekod, Petronas pertama kali memperoleh saham Engen pada 1996 dan menjadi pemegang saham majoriti menjelang 1998 dan Engen terlibat dalam pemasaran petroleum, pelincir serta cecair khusus, bahan kimia dan perkhidmatan kemudahan peruncitan.

Syarikat berkenaan kini me­ngendalikan kira-kira 1,300 ste­sen servis di tujuh negara di sub-Sahara Afrika dan Kepulauan Lautan Hindi.

Menurut Muhammad Taufik, Phembani Group yang merupakan rakan kongsi lama Petronas di Afrika dan pemegang saham “Broad Based Black Economic Empowerment (B-BBEE)”, akan kekal sebagai pemegang saham dalam Engen bersama Vivo Energy.

“Engen akan terus melaksanakan strateginya dan kekal fokus untuk menetapkan kecemerlangan operasi dan komersial dalam tempoh pra-penyiapan dan di bawah pengawasan Vivo Energy.

“Petronas telah dinasihatkan­ oleh Morgan Stanley serta Roths­child and Co. dan transaksi ber­kenaan tertakluk kepada sya­rat-syarat lazim termasuk kelulusan kawal selia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN