Pengurangan cukai beri manfaat kepada M40 - Utusan Malaysia

Pengurangan cukai beri manfaat kepada M40

POTONGAN cukai sudah pasti membolehkan kuasa beli golongan M40 meningkat dan mengurangkan beban kewangan mereka.. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi melihat pengurangkan kadar cukai pendapatan individu kepada kumpulan M40 akan memberikan lebihan pendapatan kepada golongan tersebut untuk menampung kos sara hidup.

Pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed berkata, ia akan memberikan manfaat kepada 2.4 juta pembayaran cukai kerana mempunyai lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.

“Sebagai contoh, pendapatan bercukai RM35,001 ke RM50,000, kadar cukai turun daripada 8.0 peratus kepada 6.0 peratus.

“Pendapatan bercukai RM50,001 ke RM70,000 turun daripada 13 peratus kepada 11 peratus, manakala pendapatan bercukai RM70,001 ke RM100,000 turun daripada 21 peratus kepada 19 peratus.

“Persoalannya, adakah pendapatan boleh guna itu cukup untuk mengimbangi kenaikan harga barangan dan inflasi yang berlaku sekarang? Isu lebih besar kini ialah gaji yang diterima tidak seimbang dengan kenaikan harga barangan yang mendadak.

“Selain itu, mengambil kira situasi semasa, terdapat keperluan untuk kerajaan melihat semula mereka yang memperoleh pendapatan bercukai bawah RM150,000 untuk tidak dinaikkan cukai pendapatan dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang melambung tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jumaat lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, bermula tahun ini, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak dua peratus melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, potongan cukai sebanyak dua peratus itu amat membantu golongan M40 kerana ia juga akan mengurangkan potongan cukai berjadual yang kebiasaannya turut dilakukan oleh pekerja.

Jelasnya, apabila potongan cukai berjadual itu juga dikurangkan pekerja akan dapat lebihan pendapatan yang akan membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Walaupun rata-rata gaji yang diterima oleh golongan itu tidak seimbang dengan kenaikan kos sara hidup sekarang, perlu diingatkan cukai adalah dibawah kerajaan manakala gaji pekerja bergantung kepada majikan.

“Kerajaan tidak boleh meminta majikan untuk menaikkan gaji pekerja kerana ia bergantung kepada kemampuan syarikat itu sendiri.

“Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini ialah menerusi pelbagai inisiatif program untuk meningkatkan kemahiran pekerja supaya mereka boleh mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih tinggi,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan juga boleh memberi galakan kepada syarikat-syarikat dengan memberi bantuan pembiayaan supaya mereka boleh mengembangkan perniagaan sekali gus boleh membayar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya