Penggunaan swasta pacu pertumbuhan ekonomi

Penggunaan swasta pacu pertumbuhan ekonomi

PERTUMBUHAN ekonomi negara tahun ini dijangka dipacu oleh faktor domestik, terutama penggunaan swasta berikutan kunci kira-kira pengguna yang semakin kukuh. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Faktor domestik terutamanya penggunaan swasta dijangka menjadi pendorong kepada pertumbuhan ekonomi pada tahun ini.

AmBank Economic Research berkata, penggunaan swasta akan menjadi pendorong pertumbuhan berikutan peningkatan dalam pasaran buruh dan inflasi yang stabil serta kunci kira-kira pengguna yang semakin kukuh.

Secara keseluruhan, firma itu menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 berada pada 4.5 peratus dengan unjuran pertumbuhan 6.1 peratus untuk penggunaan swasta.

“KDNK global dijangka lebih perlahan pada 2023, memandangkan ekonomi utama masih bergelut dengan inflasi, yang menghalang pertumbuhan dengan kemelesetan global yang sederhana.

“Di peringkat domestik, kami menjangkakan pertumbuhan akan disokong oleh faktor domestik. Ini juga menandakan bahawa tiada kemelesetan ekonomi dijangkakan untuk Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan, semalam.

Sementara itu, firma penyelidikan tersebut turut mengekalkan unjuran untuk ringgit antara RM4.20 hingga RM4.30 berbanding dolar Amerika Syarikat dan menjangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan naik sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.0 peratus.

“Sebarang perubahan kepada unjuran ringgit dan OPR bergantung pada perkembangan naratif Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, MIDF Research pula mengunjurkan KDNK negara akan menyerderhana kepada 4.2 peratus pada 2023 berikutan halangan luar dan dasar monetari yang menge­tat dalam banyak ekonomi.

Jelasnya, pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh penurunan pres­tasi perdagangan luar dengan mengambil kira jangkaan kelembapan dalam permintaan global.

“Pertumbuhan eksport sebenar Malaysia diunjurkan naik tiga peratus (2022: 12.8 peratus), sebahagiannya disokong oleh peningkatan eksport perkhidmatan melalui aktiviti pelancongan.

“Memandangkan China dibuka semula lebih awal daripada yang diramalkan, kami yakin ini akan memberikan rangsa­ngan tambahan kepada eksport perkhidmatan Malaysia serta aktiviti pelancongan.

“Walau bagaimanapun, kami percaya perdagangan luar Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada eksport komoditi terutamanya minyak sawit, pet­roleum mentah dan gas asli cecair (LNG) kerana harga minyak sawit mentah (MSM) dan Brent kekal meningkat pada RM3,500 setan dan AS$96.5 setong sehari untuk 2023,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN