PETALING JAYA: Pengangguran pada Disember terus menurun kepada 599,600 orang, merekodkan kadar pengangguran 3.6 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pelbagai sambutan bersekali dengan cuti persekolahan akhir tahun, lonjakan trafik di pusat dan kedai beli-belah menunjukkan kedudukan ekonomi Malaysia yang semakin baik pada Disember.
Katanya, musim cuti ini membolehkan perniagaan berkembang, terutamanya bagi penggunaan barang dan perkhidmatan.
“Selain itu, inisiatif kerajaan untuk meningkatkan peluang pekerjaan serta mengukuhkan pasaran buruh bagi menyokong momentum pertumbuhan sosio ekonomi Malaysia memacu kepada prestasi pasaran buruh yang lebih baik pada bulan tersebut.
“Justeru, bilangan tenaga buruh pada Disember meningkat 0.1 peratus merekodkan 16.73 juta orang (November 2022: 16.71 juta orang), manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) adalah pada kadar 69.8 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Suku Keempat dan Disember 2022.
Sementara itu, beliau berkata, bilangan penduduk bekerja kekal pada trend positif, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus merekodkan 16.13 juta orang pada Disember 2022 (November 2022: 16.11 juta orang).
Menurutnya, kadar pengangguran kekal pada kadar 3.6 peratus seperti pada bulan sebelumnya dengan bilangan penganggur terus menurun, mencatatkan pertumbuhan negatif 0.2 peratus kepada 599,600 orang pada Disember 2022, iaitu di bawah paras 600,000 orang buat pertama kali sejak Mac 2020 (November 2022: 600,900 orang).
“Pada Disember, kategori pekerja kekal sebagai komposisi terbesar dalam jumlah penduduk pekerja, merangkumi 75.8 peratus mencatatkan 12.23 juta orang (November 2022: 12.21 juta orang).
“Begitu juga, penduduk bekerja sendiri terus meningkat, merekodkan 2.86 juta orang, naik 0.4 peratus pada Disember 2022 (November 2022: 2.85 juta orang),” ujarnya.
Tambah beliau, sektor perkhidmatan terus mencatatkan pertumbuhan positif dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman dan aktiviti maklumat dan komunikasi.
“Begitu juga, sektor pertanian, pembuatan, pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian juga mengekalkan trend positif dalam bilangan penduduk bekerja.
“Penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 80.8 peratus daripada jumlah penganggur pada Disember. Kategori ini berkurang sebanyak 0.8 peratus merekodkan 484,200 orang berbanding bulan sebelumnya,” jelasnya.
Tambahnya, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun kepada 11.8 peratus, mencatatkan 331,000 penganggur (November 2022: 329,300 orang).
“Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun berkurang kepada 6.9 peratus merekodkan 444,500 penganggur (November 2022: 453,100 orang).
“Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh terus merekodkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus buat pertama kalinya pada Disember setelah mencatatkan penurunan selama enam belas bulan berturut-turut kepada 7.24 juta orang,” katanya. – UTUSAN









