PETALING JAYA: PRG Holdings Berhad (PRG) merekodkan pendapatan dan keuntungan sebelum cukai (PBT) paling kukuh pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK2022), dengan pendapatan mencecah RM300 juta buat kali pertama.
Pada TK2022, pendapatan PRG meningkat sebanyak 61.4 peratus tahun ke tahun kepada RM307.5 juta, manakala PBT meningkat hampir empat kali ganda kepada RM58 juta berbanding RM15.6 juta TK2021.
Pencapaian kukuh itu hasil daripada keputusan strategik syarikat untuk menceburi perniagaan tenaga efisien, sumbangan keuntungan yang kukuh daripada segmen pembangunan & pembinaan hartanah dan prestasi konsisten dalam perniagaan pembuatan.
Selain itu, ia turut disumbang oleh usaha berterusan PRG untuk menyelaraskan operasi, telah menghasilkan margin keuntungan bersih yang lebih baik pada TK2022.
“Segmen pembangunan & pembinaan hartanah, yang merupakan penyumbang hasil terbesar Kumpulan, menyaksikan pendapatan dan PBT meningkat dengan ketara kepada RM144.1 juta dan RM40.7 juta pada TK2022 berikutan peningkatan jualan dan pembinaan yang lebih tinggi daripada projek yang sedang berlangsung.
“Segmen pembuatan mencapai pendapatan sebanyak RM112.1 juta pada TK2022 dan PBT sebanyak RM12.4 juta, peningkatan yang sangat ketara dalam PBT, terutamanya disebabkan oleh kerugian susut nilai aset muhibah sekali beri dan aset lain berjumlah RM18.3 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya, ditambah dengan penjimatan kos perbelanjaan dalam segmen tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (S4 TK2022), PRG mencatatkan pendapatan sebanyak RM113.7 juta dan PBT sebanyak RM20.9 juta, berbanding pendapatan sebanyak RM71.9 juta dan PBT sebanyak RM13.9 juta pada suku sebelumnya.
Prestasi yang lebih kukuh ini disebabkan oleh pengiktirafan peratusan jualan dan kemajuan sektor pembinaan yang lebih tinggi daripada projek hartanah yang sedang berlangsung, dan sumbangan daripada perniagaan tenaga efisien baharu.
Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan PRG, Datuk Lua Choon Hann berkata, Kumpulan sangat teruja dengan prestasi dicatatkan kerana ia menunjukkan bahawa strategi perniagaan, termasuk kepelbagaian ke dalam segmen tenaga efisien, berada pada trajektori yang betul ke arah pertumbuhan.
“Walaupun kami berhati-hati dengan keadaan ekonomi global, kami berharap dapat mengekalkan prestasi dengan sokongan operasi kami yang diperkemas dan pelaksanaan strategi perniagaan yang sesuai.
“Komuniti pelaburan lebih melihat indeks kemampanan syarikat sebagai salah satu kriteria pelaburan utama dan kami berhasrat dapat menyediakan pelabur peluang pelaburan yang bernilai sejajar dengan kemampanan matlamat mereka,” katanya. – UTUSAN










