Penarikan WRO bawa impak positif industri sawit

Penarikan WRO terhadap Sime Darby bawa impak positif industri sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penarikan balik Perintah Tahan Pelepasan (WRO) yang dikenakan terhadap syarikat Sime Darby Plantation oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS), memberi impak positif kepada industri sawit negara.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dalam satu kenyataan berkata, ia ekoran hal berkenaan berkait rapat dengan pasaran eksport sawit negara serta kelangsungan perniagaan industri prinsipal, usahasama dan subsidiari sawit serta reputasi Malaysia untuk tidak dikaitkan dengan amalan buruh paksa.

Justeru itu, beliau berkata, kejayaan Sime Darby Plantation, dengan membangunkan inisiatif seperti ‘zero recruitment policy’, pemegangan pasport oleh pekerja dan membangunkan mekanisme penyelesaian aduan dalaman syarikat, harus dijadikan panduan atau model amalan terbaik oleh industri-industri lain.

“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan atas segala usaha dan komitmen Sime Darby Plantation dalam menangani isu buruh paksa yang didakwa oleh CBP AS.

“Pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh Sime Darby bertujuan bagi memperkasakan lagi aspek kesejahteraan pekerja, selaras dengan ketetapan yang digariskan di bawah undang-undang perburuhan serta instrumen-instrumen antarabangsa seliaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya.

Sebelum ini, CBP AS mengenakan WRO kepada Sime Darby Plantation sejak 2020, sebelum perintah tersebut ditarik semula pada 31 Januari lalu.

Sivakumar turut menggesa pihak industri, agar mempertingkatkan lagi usaha mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif kepada pekerja, serta tahap pematuhan terhadap piawaian perburuhan iaitu Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025.

“NAPFL menyediakan platform bagi memperjuangkan konsep keterangkuman dengan semua pihak berkepentingan dilibatkan, bagi mewujudkan mekanisme terbaik untuk membendung amalan buruh paksa menjelang tahun 2030.

“Kementerian Sumber Manusia, sentiasa berpegang teguh kepada prinsip bahawa sebarang bentuk penindasan atau eksploitasi tidak boleh dikompromi.

“Selain itu, aktiviti penguatkuasaan juga turut dipergiatkan selain mana-mana pihak yang melakukan kesalahan akan dikenakan hukuman yang tegas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN