PETALING JAYA: Penanam sawit terdiri daripada pengusaha ladang dan pekebun kecil perlu memenuhi kriteria Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang mana tempoh pelaksanaan ditetapkan secara mandatori oleh kerajaan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) komited untuk memastikan mereka mendapat pensijilan MSPO.
Sehubungan itu, program penerangan dan sesi taklimat mengenai skim pensijilan tersebut perlu dilakukan kepada pekebun kecil.
“Kerajaan telah menyediakan bantuan berbentuk insentif sebanyak RM30 juta pada 2019 merangkumi kos yuran pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Negeri Sabah, peringkat Daerah Beaufort dan Pusat Timbang KPSM Beaufort Sabah Berhad.
Tambahnya, usaha sedang dipergiat untuk meningkatkan penyertaan pekebun-pekebun kecil sawit bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan pensijilan MSPO yang memberi faedah dan kebaikan kepada mereka.
Katanya, ia seperti pengurusan amalan pertanian baik (GAP), pematuhan kepada pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar dan peningkatan kualiti buah sawit, yang akhirnya dapat meningkatkan pendapatan.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, sehingga 31 Disember 2022, pelaksanaan MSPO bagi pekebun kecil persendirian di bawah seliaan MPOB berjaya memberikan sijil kepada 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) melibatkan 187,215 orang pekebun kecil dengan keluasan kebun 709,088 hektar.
Tambahnya, sebanyak 29 SPOC melibatkan 27,666 orang pekebun kecil, meliputi keluasan sekitar 175,436 hektar tanaman sawit berjaya menerima pensijilan MSPO di Sabah.
“Kerajaan melalui MPOB giat melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan pembangunan pekebun kecil sawit persendirian dan ia termasuk Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS).
“Inisiatif lain termasuk Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe),” ujarnya.
Sementara itu, sebanyak 69 buah Pusat Timbang KPSM menyedia kemudahan di seluruh Malaysia dengan jualan buah tandan segar (BTS) mencecah 437,157.16 tan sehingga akhir Januari lalu. – UTUSAN









