Pasaran buruh negara kekal positif - Utusan Malaysia

Pasaran buruh negara kekal positif

PASARAN buruh negara kekal didorong oleh permintaan domestik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keadaan pasaran buruh Malaysia kekal positif pada suku keempat 2022, dengan peningkatan 47.9 peratus dalam bilangan pewujudan jawatan, merangkumi 30,900 jawatan baharu.

Ia didorong oleh permintaan domestik yang kukuh di sebalik tekanan luaran.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan permintaan terhadap buruh oleh industri menyumbang kepada pertambahan guna tenaga dan pengurangan pengangguran. 

“Keadaan ini telah mendorong dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pasaran buruh yang lebih baik, selari dengan perkembangan berterusan dalam permintaan domestik dan peningkatan semasa aktiviti ekonomi dan sosial. 

“Selaras dengan perkembangan ekonomi semasa, jawatan dalam sektor swasta meningkat sebanyak 2.6 peratus tahun ke tahun kepada 8.76 juta jawatan berbanding 8.53 juta pada suku sama 2021. 

“Jawatan diisi yang merangkumi 97.8 peratus daripada jumlah jawatan meningkat 2.6 peratus kepada 8.56 juta manakala peluang pekerjaan dalam ekonomi yang diukur oleh bilangan kekosongan jawatan memperoleh lagi 2.2 peratus daripada jumlah jawatan meningkat sebanyak 4.8 peratus kepada 192,400 kekosongan,” katanya.

Menurut beliau, lebih separuh kekosongan jawatan pada suku keempat 2022 adalah dalam sektor pembuatan, menyumbang 107,500 kekosongan jawatan, sebahagian besarnya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal merekodkan sejumlah 33,100 kekosongan. 

Mengulas berkenaan situasi penawaran buruh pada suku keempat 2022, beliau berkata, bilangan tenaga buruh meningkat 2.5 peratus untuk merekodkan 16.54 juta orang, kebanyakannya disumbangkan oleh kenaikan 3.2 peratus bagi penduduk bekerja yang merangkumi 15.94 juta orang.

“Pasaran buruh Malaysia telah bertambah baik berikutan kelangsungan operasi aktiviti ekonomi dan sosial dalam negara. 

“Melangkah ke tahun 2023, pasaran buruh dijangka berkembang pada kadar yang lebih sejajar dengan pertumbuhan ekonomi selepas mencapai pemulihan yang kukuh pada 2022.

“Namun, global pada suku tahun yang akan datang dijangka mempengaruhi aktiviti ekonomi dan sosial serta pasaran buruh. 

“Menuju ke hadapan, prestasi keseluruhan pasaran buruh dijangka kekal positif dan stabil bergantung kepada permintaan terhadap pekerja yang kekal berdaya tahan dalam menyokong penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan pendapatan, walaupun menghadapi cabaran situasi luar jangka yang mungkin berlaku pada masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya