Onlyone Zuza luaskan pasaran di media sosial

Onlyone Zuza luaskan pasaran di media sosial

MUHAMMAD Zafiq Fitri Zubir bersama ibunya, Siti Aishah Ishak menunjukkan produk yang dihasilkan oleh Syarikat Onlyone Zuza Food Industries di Pekan Napoh, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEKNIK pemasaran merupakan asas terpenting dalam sesuatu perniagaan terutama yang melibatkan penjualan produk, apatah lagi dunia hari ini berdepan perkembangan teknologi media dan gaya hidup sosial.

Lantaran itu, syarikat Onlyone Zuza Food Industries Sdn. Bhd. juga tidak mahu ketinggalan dalam memanfaatkan ruang digital walaupun secara dasar­nya mereka kini sudah mence­cah usia 32 tahun dalam perniagaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus syarikat ber­kenaan, Muhammad Zafiq Fitri Zubir berkata, Onlyone Zuza bakal melancarkan dua produk premium tidak lama lagi bagi memberikan pilihan terbaik kepada pelanggan setia mereka.

Meneruskan perniagaan ar­wah bapa, Muhammad Zafiq Fitri yang baru menginjak usia 26 tahun berkata, dua produk tersebut adalah kuah rojak madu dan sos lada hitam.

Justeru, mengambil kira kedudukan pelanggan setia yang mungkin kini bermastautin jauh dari Kedah, mereka bercadang untuk memasarkan kedua-dua produk tersebut secara dalam talian khusus­nya menerusi aplikasi Facebook, Shopee dan TikTok.

“Umum mengetahui, jualan melalui platform ini lebih meluas berbanding kita hanya masuk ke kedai atau mana-mana pasar raya kerana pemasarannya hanya tertumpu di sesuatu lokasi sahaja.

“Lagi pun dengan pemakluman jualan di media sosial sudah tentu pelanggan kami yang berada jauh di seluruh pelusuk negara dapat menge­tahui pengenalan produk premium ini yang akan memberikan lebih kepuasan,” katanya ketika ditemui di kilang mereka di Pekan Napoh, Kubang Pasu.

Menyentuh produk premium yang mahu dikeluarkan itu, kata Muhammad Zafiq, kuah rojak madu adalah produk pertama mereka sejak syarikat mula ditubuhkan pada 32 tahun lalu dengan menggunakan resepi asal daripada arwah neneknya.

“Apabila tahun berganti tahun dan kos yang semakin meningkat menyebabkan resepi asal itu telah diolah mengikut ke­sesuaian terutama daripada segi kos yang perlu ditanggung.

“Bagaimanapun, bagi edisi premium kali ini, kami akan menggunakan semula resepi asal arwah nenek dan juga memilih bahan mentah yang berkualiti untuk menghasilkannya,” katanya.

Menurutnya, produk premium itu kelak diyakini akan memberi lebih kepuasan kepada pengguna terutamanya pelanggan setia mereka sejak tahun 1991.

“Kami bukan sahaja menggunakan udang segar dan madu tualang dalam kuah rojak terbabit, sebaliknya ia juga akan dimasak secara manual oleh pekerja tanpa menggunakan mesin.

“Saya tidak nafikan penghasilan secara manual akan menyebabkan lebih kebergantungan kepada tenaga kerja, tetapi dalam proses penghasilan sesuatu yang berkualiti itu risiko yang syarikat berani ambil,” katanya.

MUHAMMAD Zafiq Fitri Zubir (kiri) memantau proses pembuatan produk keluaran Syarikat Onlyone Zuza Food Industries.

Bagi penghasilan sos lada hitam premium pula, Muhammad Zafiq Fitri berkata, mereka akan menampilkan sos lada hitam hot and spicy yang pelbagai guna.

“Ini bermaksud sos dikeluarkan kita ini bukan sahaja boleh dijadikan pencicah malah juga sesuai untuk kegunaan perapan, masakan dan lain-lain lagi mengikut kreativiti pengguna.

“Tekstur untuk edisi ini juga agak berlainan kerana kita akan datangkan lada hitam ini dalam bentuk yang sedikit kasar berbanding sebelum ini,” katanya.

Kedua-dua produk terbabit masih menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan sedang dipantau rapi oleh Muhammad Zafiq Fitri sendiri bersama ibunya, Siti Aishah Ishak, 53 yang juga pengerusi syarikat.

“Sekiranya kedua-dua produk mencapai piawaian yang kami mahukan, Insya-Allah pengelu­aran kumpulan pertama akan dimulakan tidak lama lagi,” katanya yang mengendalikan syarikat terbabit sejak kematian ayahnya pada Mac tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN