Northport terima peralatan terminal dari Jepun - Utusan Malaysia

Northport terima peralatan terminal dari Jepun

DATUK Azman Shah Mohd. Yusof (kanan) menerima model kren daripada Atsufumi Takahashi (kiri) bagi melambangkan penyerahan peralatan terminal baharu dengan disaksikan oleh Saito Hiroaki dalam majlis penyerahan di Northport, Pelabuhan Klang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC secara rasmi menerima sembilan buah kren Rubber Tyred Gantry (RTG) baharu yang dibeli daripada syarikat Jepun, Mitsui E&S Machinery Co., Ltd. (Mitsui E&S).

Peralatan terminal baharu tersebut adalah kumpulan pertama daripada sejumlah 23 buah RTG berkuasa diesel dan 11 buah elektrik RTG atau eRTG yang bakal diterima.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, kesesakan pelabuhan yang berlaku pada awal 2021 serta jangkaan kendalian yang tinggi secara konsisten untuk pengendalian kargo kontena dan konvensional di Northport telah mengorak langkah syarikat untuk mengkonfigurasi dan menyusun semula terminal untuk meningkatkan kapasiti pelabuhan.

“Pelan konfigurasi semula terminal melibatkan penukaran dan pembangunan lapangan kontena serta pemerolehan peralatan pelabuhan baharu.

“Langkah tersebut adalah perlu kerana kami telah mengendalikan jumlah kargo kontena yang tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kami menjangkakan aliran peningkatan ini akan berterusan pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Setiausaha Pertama Kedutaan Jepun di Malaysia, Saito Hiroaki telah hadir menyaksikan penyerahan kren RTG daripada Pengurus Besar, Bahagian Kren dan Sistem Mitsui E&S, Atsufumi Takahashi kepada Azman Shah, semalam.

Pada masa ini, Northport beroperasi dengan sejumlah 84 buah kren RTG yang terdiri daripada 71 buah RTG berkuasa diesel dan 13 buah e-RTG.

Azman menjelaskan, pemerolehan RTG baharu itu akan meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti operasi kontena syarikat serta memenuhi komitmen untuk terus memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan. 

“Penyerahan kren RTG baharu ini adalah satu langkah ke hadapan bagi Northport untuk menjadi pelabuhan yang ‘Lebih Selamat, Lebih Hijau, Lebih Pintar dan Lebih Baik,” ujarnya.

Sementara itu, Saito berkata, majlis tersebut melambangkan permulaan perkongsian strategik antara Northport dan Mitsui E&S melalui penyerahan kren RTG baharu. 

“Usaha ini memberi peluang untuk lebih banyak kerjasama dan pada masa yang sama mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun,” katanya.

Northport telah mencatatkan pencapaian pecah rekod secara berturut-turut dalam tempoh dua tahun lalu. 

Pada 2021, Northport telah mencapai prestasi yang mengagumkan untuk segmen perniagaan kontenanya selepas berjaya mengendalikan sejumlah 3.32 juta TEU, iaitu jumlah kendalian kontena tahunan tertinggi pernah dicatatkan oleh syarikat. 

Pada tahun lepas pula, Northport telah merekodkan 11.1 juta Freight Weight Tonnes (FWT) kendalian kargo, iaitu pencapaian tahunan tertinggi untuk pengendalian kargo konvensional sejak pembentukan Northport melalui penggabungan Klang Container Terminal (KCT) dan Klang Port Management (KPM) pada 2000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya