KUALA LUMPUR: Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus enggan mengulas lanjut mengenai pelantikan semula beliau sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
Nor Shamsiah ketika ditanya pemberita memaklumkan, beliau tidak memikirkan soal tersebut buat masa ini.
Menurut beliau, soal pelantikan Gabenor BNM adalah di bawah perkenaan Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 15 (1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
“Jadi, bagi saya, saya memberi tumpuan untuk menjalankan amanah yang diberikan untuk memastikan BNM terus melaksanakan mandatnya.
“Ia mengisi sebahagian besar masa saya, jikapun tidak semua” katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akhbar Prestasi Ekonomi Suku Keempat Tahun 2022 di sini, semalam.
Untuk rekod, Nor Shamsiah dilantik sebagai Gabenor BNM kesembilan bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2023 menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim yang meletak jawatan pada 15 Jun 2018.
Beliau yang dilahirkan pada 1964 merupakan wanita kedua dilantik sebagai Gabenor BNM selepas Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
Nor Shamsiah mula bertugas di BNM sejak 1987 dan pada 1999, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pengawalan Bank hingga 2004 sebelum dilantik sebagai Penolong Gabenor pada 1 Disember 2004.
Beliau juga pernah bertugas sebagai Timbalan Gabenor sebanyak dua kali, iaitu pada 2010-2013 dan 2013-2016.
Menurut laporan majalah perbankan, The Banker, Nor Shamsiah diiktiraf sebagai Gabenor Bank Pusat Terbaik Asia Pasifik dengan anugerah ‘Central Banker of the Year 2019’ Asia Pasifik sebagai mengiktiraf usaha beliau merangsang pertumbuhan dan menstabilkan ekonomi negara. – UTUSAN










