PETALING JAYA: Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. (MHB), memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM1.4 bilion daripada Carigali-PTTEPI Operating Company Sdn. Bhd. (CPOC) bagi kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCI) lima pelantar wellhead, lima saluran paip dasar laut dan ‘host tie-ins’.
MHB dalam pemfailan bursa semalam memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE) telah menerima surat lantikan daripada CPOC yang merupakan pengendali PC JDA Ltd, anak syarikat Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan PTTEP International Ltd (PTTEPI) 2 Februari lalu.
Katanya, kontrak EPCI itu adalah bagi projek pembangunan fasa enam kawasan pembangunan bersama yang terletak di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) melibatkan pembinaan lima pelantar wellhead dengan purata berat 2,000 tan metrik, dinamakan sebagai ADC, ADD, ADE, JKC dan JKD, termasuk kerja-kerja saluran paip dasar laut berkaitan serta naik taraf komunikasi.
Tambahnya, setelah selesai, pelantar berkenaan akan dipasang di perairan dengan kedalaman antara 55 dan 65 meter, di kawasan di bawah B-17-01 selatan Teluk Siam, luar pesisir Thailand dan Malaysia.
“Kontrak 22 bulan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 dan seterusnya sehingga ia selesai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Pandai Othman berkata projek berkenaan ditawarkan secara kompetitif dalam kalangan beberapa pemain terkemuka serantau dan pemberian kontrak berkenaan kepada MHB merupakan bukti kepada trek rekod Kumpulan berkenaan yang dipercayai selama 50 tahun.
“Ini merupakan kemenangan besar ketiga kami selepas memenangi dua projek dalam tempoh setahun lalu, iaitu projek Simpanan dan Perangkap Karbon Rosmari-Marjoram dan Kasawari masing-masing daripada Shell dan Petronas.
“Perkembangan baharu ini menandakan pemulihan industri minyak dan gas di rantau ini selepas satu tempoh yang lembap ekoran pandemik dan kami bersedia melalui waktu sibuk industri dengan mengaktifkan semula East Yard sebagai maklum balas segera kepada permintaan akan datang,” katanya.
Menurut beliau, MHB berbesar hati untuk menyumbang kepada kejayaan hubungan diplomatik yang berkekalan antara Thailand dan Malaysia melalui projek berkenaan. – UTUSAN










