Menanti inisiatif tawaran kerajaan

Menanti inisiatif tawaran kerajaan

Rakyat yang berdepan tekanan kenaikan kos hidup, menanti inisiatif dan insentif ditawarkan kerajaan untuk membantu mereka dalam Belanjawan 2023. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan hari ini menjadi tumpuan rakyat dan sektor-sektor perniagaan yang ternanti inisiatif ditawarkan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada mereka.

Kali ini, Anwar kembali tampil membentangkan belanjawan negara selepas 26 tahun dan dijangka memberi penekanan kepada usaha memacu ekonomi, perniagaan dan kesejahteraan rakyat yang kini berdepan dengan kenaikan kos sara hidup, seiring dengan usaha kerajaan mewujudkan Masyarakat Madani.

Ketika Anwar mengemukakan Bajet 1998 pada 1997, seba­nyak RM64.127 bilion telah diperuntukkan dengan RM45.633 bilion daripadanya adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM18.491 bilion pula bagi pembangunan.

Belanjawan 2023 kali ini dijangka lebih tinggi berbanding peruntukan berjumlah RM372.3 bilion pada belanjawan dibentang 7 Oktober tahun lalu, mengambil kira senario dan cabaran kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam persekitaran ekonomi global yang lebih mencabar kini.

Bagi ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai, Belanjawan 2023 perlu mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding pertumbuhan ekonomi negara yang besar.

Ujarnya, dalam belanjawan kali ini, kerajaan tidak mempunyai banyak peluang untuk me­lakukan sesuatu yang besar ke­rana ia telah dirumuskan pada belanjawan yang telah dibentangkan pada Oktober lalu.

“Bagaimanapun, Belanjawan 2023 penting untuk menunjukkan arah kerajaan yang baharu ini.

Kali ini kerajaan mungkin akan mengutamakan kesejah­teraan rakyat seperti memberikan bantuan kewangan.

“Selain itu, kerajaan juga fokus kepada mengecilkan defisit negara. Jadi kerajaan perlu berbelanja dengan berhemah dan cekap pada Belanjawan 2023 ini.

“Mungkin kerajaan akan menggariskan rancangan besar yang akan dilakukan tetapi ia tidak akan dilakukan dengan serta merta,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Russayani Ismail berpendapat, Belanjawan 2023 bakal memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup, sosio-ekonomi dan keselamatan makanan.

Ujarnya, ia bagi menjamin kesejahteraan masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan bantuan termasuk perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

“Di samping itu, pengura­ngan cukai pendapatan peribadi bagi M40 juga perlu dipertimbangkan kerana golongan ini juga terkesan dengan kenaikan harga, inflasi dan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Kerajaan juga perlu me­ngekalkan subsidi minyak pada tahun ini bagi memastikan golongan peniaga dapat menjalan dan meneruskan perniagaan.

“Selain itu, kerajaan perlu mengimbangi semula perbelanjaan dan hasil. Ini melibatkan perbelanjaan yang lebih cekap dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu bagi meningkatkan akauntabiliti kerajaan dan sekaligus meningkatkan keyakinan pelabur luar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN