PUTRAJAYA: Kerajaan memberikan konsesi kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mengoperasi, mengurus, menyelenggara dan membangunkan 39 buah lapangan terbang dan padang terbang di negara ini bagi tempoh sehingga 2069.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri pada 2 Februari lalu selepas bersetuju dengan syarat baharu perjanjian operasi (OA) antara kerajaan dan MAHB, yang bakal ditandatangani sebelum Mac ini.
Beliau berkata, syarat-syarat baharu di bawah OA 2023 itu membolehkan kerajaan dan MAHB melaksanakan pelan pembangunan komersial yang lebih berdaya saing dan berpotensi meningkatkan pendapatan kerajaan melalui perkongsian hasil ke atas tanah milik kerajaan yang dibangunkan MAHB.
“Dengan pelaksanaan konsep subsidi bersilang, semua aspek-aspek pengurusan dan penyelenggaraan 17 buah STOLports yang merupakan tanggungjawab sosial kerajaan pada masa ini akan terus dipertanggungjawabkan kepada MAHB sehingga tahun 2069.
“Pelaksanaan OA 2023 ini juga akan membolehkan MAHB merencana perancangan pembangunan jangka panjang yang lebih baik bagi semua lapangan terbang di bawah seliaannya dengan mengambil kira kepakaran dan pengalaman MAHB yang menunjukkan prestasi dan pencapaian yang memberangsangkan dalam bidang pengurusan lapangan terbang di Malaysia dan juga di luar negara,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Selain itu, katanya, pelaksanaan OA 2023 membolehkan MAHB membantu meringankan beban kerajaan dengan mengambil alih kos pembangunan melibatkan lapangan terbang yang kompetitif dan berdaya saing atau menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat untuk melabur dalam pembangunan lapangan terbang pada masa akan datang.

Mengulas mengenai terma dan syarat utama OA 2023, Anthony berkata, kerajaan dan MAHB mempunyai fleksibiliti dalam kaedah pembiayaan kos pembangunan lapangan terbang sama ada menggunakan peruntukan kerajaan melalui perbelanjaan pembangunan (DE) atau MAHB melalui mana-mana mekanisme model pemulihan pelaburan yang bersesuaian.
Jelasnya, ia tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua pihak dengan kadar kos purata wajaran modal (WACC) ditentukan apabila projek terlibat akan dilaksanakan dan tertakluk kepada persetujuan kerajaan.
“Yang kedua adalah penubuhan akaun amanah pembangunan lapangan terbang dikenali sebagai Airport Development Fund (ADF) di bawah Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] bagi menerima sumbangan daripada pengguna lapangan terbang, orang awam dan juga syarikat-syarikat penerbangan serta tidak melibatkan sumbangan daripada dana kerajaan.
“Manakala yang ketiga, sebanyak 50 peratus daripada komponen Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang diambil kira dalam pengiraan bayaran pengguna akan disalurkan kepada akaun amanah ADF. PSC atau peratusan daripada lain-lain komponen dalam bayaran pengguna yang akan disumbangkan ke dalam akaun ADF akan dikaji semula setiap tiga tahun.
“Kerajaan juga berhak untuk menstruktur semula industri lapangan terbang melalui kaedah clustering, memisahkan ekuiti perniagaan daripada syarikat induk (carve out), pelupusan lapangan terbang, menutup lapangan terbang atau terminal sedia ada atau penstrukturan semula mana-mana pemilikan fasiliti tertakluk kepada persetujuan bersama MAHB,” ujarnya.
Ditanya sama ada OA 2023 dapat mengurangkan harga tiket penerbangan ketika musim perayaan, Anthony Loke berkata, perjanjian baharu itu memberikan fleksibiliti kepada MAHB dalam membangunkan lapangan terbang menjadi lebih kompetitif dan efektif.
Selain itu, Anthony berkata, Kabinet turut bersetuju dengan cadangan penjenamaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 kepada KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2 bagi tujuan mencapai nilai yang lebih tinggi dalam memasarkan perkhidmatan di lapangan terbang dengan lebih berkesan di samping memperkukuhkan persaingan dengan lapangan-lapangan terbang antarabangsa serantau.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood dalam kenyataan berkata, OA 2023 mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan MAHB dalam mengurus dan mengendalikan lapangan terbang di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Ia akan memastikan kemampanan komersial dan memudahkan pertumbuhan lapangan terbang negara, seterusnya akan berfungsi sebagai pemacu pembangunan ekonomi yang penting bagi Malaysia,” katanya. – UTUSAN










