LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan pelaburan baharu bernilai RM1 bilion pada tahun ini membabitkan pelbagai sektor komersial termasuk pembinaan hotel bertaraf empat dan lima bintang di pulau peranginan itu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Perancangan dan Pembangunan) LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, antara sektor komersial lain yang berada dalam perancangan adalah produk eko-pelancongan dan pusat beli-belah.
Menurutnya, LADA mengalu-alukan pelbagai jenis bentuk pelaburan ke Pulau Langkawi dalam usaha meneruskan kerancakkan ekonomi di situ.
“Pulau ini mencatatkan pelaburan daripada sektor pelancongan yang bernilai RM1.8 bilion pada 2022 berbanding RM1.2 bilion pada tahun sebelum itu.
“Walaupun pertumbuhan ekonomi dilihat agak perlahan, namun nilai pelaburan yang masuk ke pulau ini masih positif berikutan fasa pemulihan ekonomi pasca Covid-19,” katanya pada sidang akhbar selepas program Langkawi Invest Day di sini.
Menurut beliau, pelaburan baharu berimpak tinggi seperti pelaburan berasaskan pelancongan kesihatan yang menyediakan hospital pakar atau pusat kesihatan amat diperlukan bagi menjadikan Langkawi hab pelancongan perubatan di negara ini.
Selain itu, katanya, pelaburan dalam bidang pendidikan juga mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dengan mewujudkan universiti atau kolej antarabangsa bagi meletakkan pulau ini sebagai hab pendidikan.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Pengajian Tinggi Kedah, Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail berkata, Langkawi Invest Day adalah kesinambungan program Kedah Invest Day yang dianjurkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur, sebelum ini.
“Langkawi sudah menjadi salah satu destinasi pelaburan popular disebabkan oleh statusnya sebagai destinasi pelancongan utama yang menawarkan pelbagai lokasi dan lanskap menarik serta berpotensi besar untuk dikembangkan.
“Bagi menarik pelaburan berterusan, promosi dan sokongan daripada pelbagai agensi dan kementerian diperlukan bagi menonjolkan keunikan Langkawi kepada bakal pelabur,” katanya. – UTUSAN









