KPJ Healthcare rekod hasil kukuh, tertinggi dalam sejarah

KPJ Healthcare rekod hasil kukuh, tertinggi dalam sejarah untuk TK2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melaporkan prestasi hasil paling kukuh pada RM2.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK2022).

Pendapatan itu merupakan peningkatan sebanyak 13 peratus daripada RM2.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021).

Menurut KPJ Healthcare, prestasi cemerlang Kumpulan juga dilihat melalui Keuntungan Selepas Cukai (PAT), yang mencatatkan lonjakan lebih daripada 100 peratus, peningkatan hampir tiga kali ganda tahun-ke-tahun, pada RM190.3 juta berbanding RM72.4 juta yang dicatatkan pada TK2021.

Jelasnya, Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM263.5 juta berbanding RM121.2 juta pada TK2021.

“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sebanyak 34 peratus kepada RM708.8 juta berbanding RM528.3 juta bagi tempoh yang sama pada TK2021.

“Bilangan lawatan pesakit meningkat sebanyak 10 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas manakala BOR lebih tinggi pada 58 peratus berbanding 43 peratus pada TK2021,” katanya dalam kenyataan.

KPJ Healthcare berkata, pertumbuhan kukuh bagi TK2022 adalah disebabkan oleh prestasi kukuh Kumpulan pada suku terakhir tahun tersebut.

Pada suku keempat (S4) TK2022, PBT dan PAT masing-masing meningkat kepada RM90.5 juta dan RM76.3 juta, berbanding RM41.5 juta dan RM27.7 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

“EBITDA meningkat sebanyak 43 peratus dan bilangan lawatan pesakit meningkat sebanyak 5 peratus pada S4 TK2022, manakala BOR meningkat kepada 64 peratus berbanding 46 peratus pada S4 TK2021,” jelasnya.

Tambah syarikat perubatan itu, prestasi kukuh KPJ Healthcare didorong oleh permintaan tinggi bagi prosedur perubatan elektif, untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Katanya, hasil Pelancongan Kesihatan Kumpulan meningkat sebanyak 63 peratus kepada RM134 juta pada TK2022.

“Pembukaan hospital ke-29 Kumpulan, Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) pada September tahun lalu telah membolehkan KPJ Healthcare memperhalusi penyampaian perkhidmatan dan penjagaan pelanggannya, selaras dengan tuntutan ‘Care for Life’ KPJ Healthcare.

“Dengan kemudahan berlandaskan teknologinya, DSH2 dijangka bakal menguasai pasaran lantas menyumbang kepada pertumbuhan hasil masa hadapan hospital tersebut,” jelasnya.

Mengulas prestasi tersebut, Pegawai Pimpinan (OIC) KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad berkata, prestasi kukuh bukti daya tahan berterusan kami Kumpulan yang telah meletakkan kedudukan Kumpulan dalam pasaran dengan baik.

Beliau berkata, Kumpulan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan dalam bilangan lawatan pesakit, justeru BOR yang lebih baik, dalam usaha Kumpulan untuk terus menyediakan penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada pesakit.

“KPJ Healthcare bersedia untuk memacu pertumbuhan pada 2023 dan pada tahun-tahun yang akan datang. Kami akan terus mempergiatkan usaha untuk mengukuhkan pengendalian operasi kami.

“Sebagai permulaan, kami akan menambah 394 katil dan 83 perunding perubatan baharu. Memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik, terutamanya di DSH2, menjadi keutamaan kami.

“Inovasi untuk memastikan pertumbuhan mampan melalui pelaburan dalam peralatan perubatan terkini dan kemudahan penjagaan kesihatan akan menjadi kunci strategi kami. Berbekalkan momentum yang sedang kita lalui sekarang, saya yakin bahawa kami akan dapat menyampaikan nilai yang berterusan kepada pihak berkepentingan kami,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN