KLWC sedia lebih 4,000 peluang pekerjaan sektor kesihatan

KLWC sedia lebih 4,000 peluang pekerjaan sektor kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: KL Wellness City (KLWC) komited menawarkan peluang pekerjaan dalam sektor kesihatan bagi menangani isu penghijrahan pakar (brain drain) dalam kalangan golongan profesional negara yang berkemahiran.

Usaha itu bertepatan kerana meskipun sektor penjagaan kesihatan adalah antara yang terbaik di rantau ini, sektor tersebut juga tidak terlepas daripada penghijrahan tenaga kerja perubatan ke negara-negara lain.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Colin Lee berkata, negara sedang menghadapi cabaran besar dalam industri penjagaan kesihatan berikutan peningkatan jumlah profesional penjagaan kesihatan yang meninggalkan negara untuk menerokai peluang yang lebih baik di luar negara.

Ujarnya, isu ini secara tidak langsung telah menjejaskan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia selain menjadi beban dalam sistem penjagaan kesihatan negara ini.

“Memandangkan kebanyakan tenaga kerja profesional tempatan dalam sektor penjagaan kesihatan telah memilih untuk berhijrah ke luar negara bagi mendapatkan pelbagai peluang lain, KLWC komited dalam memainkan peranan untuk menawarkan peluang yang lebih baik buat mereka bekerja di sini.

“Malaysia mempunyai banyak kelebihan untuk ditawarkan kepada generasi muda. Kami tidak berhasrat untuk melihat pakar tempatan kami mengintai peluang di tempat lain justeru berhijrah dengan persepsi bahawa negara luar lebih baik berbanding negara sendiri, dalam pelbagai industri terutamanya sektor penjagaan kesihatan,” katanya.

Setelah mengumumkan kadar tempahan sebanyak 75 peratus bagi suite perubatan fasa pertama The Nobel Healthcare Park dalam pembangunan KLWC yang bertemakan penjagaan kesihatan seluas 26.49 ekar, projek pembangunan tersebut juga telah menetapkan sasaran untuk menyediakan lebih 4,000 peluang pekerjaan dalam industri perubatan profesional.

The Nobel Healthcare Park yang merangkumi suite perubatan, perniagaan, suite penjagaan kesihatan dan perniagaan, mempunyai ekosistem pakar-pakar kesihatan yang terhubung sepenuhnya di samping perkhidmatan perubatan sampingan yang saling terhubung dengan International Hospital @ KL Wellness City yang bersebelahan di mana ia telah diluluskan sebagai hospital tertiari dengan 624 katil yang boleh menampung kapasiti sehingga 1,000 katil.

Menurut beliau, dengan kemudahan dan perkhidmatan perubatan yang canggih disepadukan dalam ekosistemnya, KLWC dapat menarik bakat dan profesional tempatan dengan pelbagai peluang pekerjaan serta prospek kerjaya.

“Suite Perubatan merupakan wadah bagi pengamal perubatan tempatan untuk merealisasikan impian mereka dalam memula dan memiliki amalan perubatan masing-masing. Ramai pakar perubatan bercita-cita ingin memulakan amalan mereka sendiri, dan kami berasa bangga menjadi tempat di mana mereka rasa tergolong,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN