PETALING JAYA: Jumlah dagangan negara pada Januari 2023 bernilai RM207.5 bilion, meningkat 1.9 peratus tahun ke tahun dengan nilai eksport sebanyak RM112.8 bilion dan import berjumlah RM94.7 bilion, lapor Jabatan Perangkaan (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport pada Januari 2023 meningkat sebanyak RM1.8 bilion (+1.6%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kata beliau, eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM1.9 bilion), Johor (+RM1.6 bilion), Wilayah Persekutuan (WP) Labuan (+RM943.1 juta), Sarawak (+RM909.7 juta), WP Kuala Lumpur (+RM797.1 juta), Negeri Sembilan (+RM306.7 juta), Kelantan (+RM7.7 juta) dan Perlis (+RM1.6 juta).
“Walau bagaimanapun, eksport menyusut di Selangor (-RM2.4 bilion), Pahang (-RM661.0 juta), Sabah (-RM650.8 juta), Perak (-RM587.0 juta), Kedah (-RM156.8 juta), Melaka (-RM104.9 juta) dan Terengganu (-RM64.4 juta),” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, import pada Januari 2023 juga meningkat RM2.2 bilion (+2.3%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi oleh kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM2.2 bilion), Melaka (+RM1.4 bilion), WP Kuala Lumpur (+RM550.5 juta), Terengganu (+RM349.7 juta), Negeri Sembilan (+RM348.8 juta), Sabah (+RM282.0 juta), WP Labuan (+RM130.2 juta), Sarawak (+RM95.2 juta) dan Perlis (+RM18.5 juta).
Walau bagaimanapun, katanya, import menyusut di Pulau Pinang (-RM2.2 billion), Selangor (-RM543.2 juta), Perak (-RM287.2 juta), Kedah (-RM258.0 juta), Pahang (-RM87.0 juta) dan Kelantan (-RM36.2 juta).
“Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 32.4 peratus, diikuti Johor (19.3%), Selangor (16.6%), Sarawak (8.4%) dan WP Kuala Lumpur (4.6%). Sementara itu, bagi import, Selangor merupakan penyumbang utama dengan 26.3 peratus, diikuti Pulau Pinang (21.5%), Johor (20.7%), W.P. Kuala Lumpur (7.4%) dan Kedah (6.1%),” katanya. – UTUSAN










